ARKIB : 03/01/2006
KUALA LUMPUR - Ketua pasukan
Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata dia sama sekali tidak menyangka
tindakan ikhlasnya mengeluarkan bola untuk membolehkan pemain import MPPJ,
Rachid Zmama mendapat rawatan pada perlawanan bola sepak Liga Super di Ipoh
Sabtu lalu, dibalas dengan kad merah.
Menceritakan lebih lanjut
mengenai situasi tegang pada minit ke-77 perlawanan di Stadium Perak itu, Ahmad
Shahrul berkata, setelah melihat Zmama terbaring di padang, dia segera
mengeluarkan bola semata-mata untuk membolehkan pemain import MPPJ itu segera
diberi rawatan.
``Saya hanya mahukan permainan
bersih atau fair play setelah melihat pemain lawan terbaring. Tetapi saya
sangat terkejut apabila tidak semena-mena dilayangkan kad merah.
``Saya tidak tahu apa salah
saya. Saya tidak mengatakan tiada sentuhan langsung di antara saya dan Zmama
tetapi jika adapun saya tiada niat untuk mengasarinya.
``Dan pengadil perlawanan,
Manjit Singh memberhentikan perlawanan bukan kerana insiden kekasaran
sebaliknya kerana mahu melihat keadaan Zmama yang cedera.
``Apa yang menghairankan, saya
dilayangkan kad merah apabila Manjit berjumpa dengan pegawai perlawanan
keempat, Rosdi Shaharul.
``Saya amat kecewa dengan
insiden tersebut kerana saya mahukan permainan fair play tetapi dibalas dengan
kad merah,'' katanya.
MPPJ yang mendapat jolokan
Chelsea Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalahnya selepas lima perlawanan Sabtu
lalu dengan menumpaskan Perak 2-1 menerusi jaringan Ben Katanha dan Liew Kit
Kong manakala Perak membalas dengan tandukan Troare Abdoulaye
Perlawanan penuh tegang di
Stadium Perak Sabtu lalu terhenti selama enam minit akibat insiden Ahmad
Shahrul dilayangkan kad merah sehingga pasukan keselamatan terpaksa campur
tangan untuk mententeramkan pegawai dan penyokong Seladang yang turut berang.
Menurut Ahmad Shahrul, dia kini
sedang menunggu keputusan insiden tersebut sama ada dia hanya dikenakan
penggantungan perlawanan kerana kad merah atau hukuman lebih berat akibat
tercetus insiden ketegangan tempoh hari.
Menurutnya, dia sedia menerima
sebarang hukuman tetapi kesal dengan corak pengadilan Manjit Singh yang sejak
awal perlawanan, pegawai skuad Seladang sudah menampakkan sikap tidak berpuas
hati dengan tindak-tanduk Manjit sehingga ada yang menjerit-jerit ke arahnya.
``Keputusan pengadil perlu
tepat kerana ia bukan sahaja mempengaruhi keputusan perlawanan tetapi suasana
di padang dan tempat duduk penonton.
``Dalam masa yang sama juga
hairan kerana pengadil pada malam tersebut dari Kuala Lumpur, sedangkan lawan
kami MPPJ Selangor.'' katanya.
Mengenai ketiadaannya pada
perlawanan seterusnya selepas digantung perlawanan kerana menerima kad merah,
Ahmad Shahrul berkata, ia tidak akan menjejaskan peluang Perak untuk menduduki
kelompok teratas.
``Masih ada pemain yang mampu
menggantikan tempat saya dan Perak akan memberikan yang terbaik untuk menduduki
kelompok teratas,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jYP6R1dZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan