ARKIB : 10/03/2006
PETALING JAYA - Persatuan Bola
Sepak Perak (PFA) terpaksa menunggu sehingga 17 Mac ini sebelum menentukan
bentuk hukuman baru ke atas Ahmad Shahrul Azhar Sofian.
Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam tidak membincangkan semula kes
Ahmad Shahrul seperti diarahkan oleh Jawatankuasa Rayuan pada 7 Februari lalu.
Mesyuarat yang dipengerusikan
oleh Datuk Abdul Hamid Mustapha semalam sekadar menetapkan tarikh perbicaraan
semula kes ketua pasukan Perak itu pada 17 Mac ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa
Rayuan yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Abdul Shukor Abdullah mengetepikan
hukuman gantung 12 bulan dan denda RM3,000.
Jawatankuasa itu mendapati
hukuman mengikut peraturan 7(a) tidak tepat dengan tuduhan perlakuan ganas
pemain itu.
Ini bermakna Ahmad Shahrul
digantung sehingga perbicaraan semula 17 Mac ini.
Dalam pada itu, seramai 15
pemain amatur dan profesional digantung dua perlawanan dan denda antara RM500
hingga RM1,000 kerana kad merah.
Dalam kes yang berkaitan, bekas
pengurus Sabah, Datuk Anifah Aman pula didapati bersalah dalam dua insiden
membabitkan perlawanan dengan Perak dan Terengganu pada 2005.
Anifah didapati bersalah
berkelakuan tidak sopan sewaktu Sabah bertemu Perak, 26 Februari 2005 dan
digantung dua perlawanan dan denda RM1,000.
Bagi kesalahan kedua, Presiden
Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) itu bersalah dan didenda RM3,000 kerana
membantah keputusan pengadil sewaktu perlawanan Sabah-Terengganu 17 Ogos tahun
lalu. Hukuman itu tidak dapat dilaksanakan kerana Anifah bukan lagi pengurus
Sabah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4koKN3qoc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan