Jumaat, 23 Jun 2017

Ahmad Shahrul mahu segera beraksi



 
ARKIB : 13/03/2006
Ahmad Shahrul mahu segera beraksi
Ahmad Shahrul.

KUALA LUMPUR - Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berharap mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang `membicarakan semula' hukuman terhadapnya Jumaat ini bakal menghasilkan keputusan yang memihak kepadanya.

Menurut bekas ketua pasukan kebangsaan itu yang pada awalnya digantung setahun dan denda RM3,000 kerana berbalah dengan pengadil pada perlawanan Liga Super Disember lalu, dia sudah tidak sabar-sabar untuk kembali beraksi apatah lagi di saat Perak semakin menyerlah dengan menduduki tangga teratas Liga Super.

Katanya, menjelang 17 Mac ini dia sudah terlepas 10 perlawanan untuk Perak dan tidak mahu menunggu lebih lama untuk mengetahui hukuman yang bakal diterimanya.

``Jika boleh saya mahu segera beraksi tetapi segala-galanya terserah kepada FAM untuk mengadili hukuman ke atas saya. Selepas tiada keputusan dibuat pada mesyuarat baru-baru ini (9 Mac), saya terpaksa terus menunggu sehingga 17 Mac ini.

``Saya bersedia menerima apa juga hukuman tetapi berharap ia adil kepada saya,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan, semalam.

Pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul tersilap dikenakan tuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib berhubung perlawanan Liga Super, 31 Disember lalu menentang MPPJ di Stadium Perak, Ipoh.

Dia didakwa menyiku pemain MPPJ, Rachid Zmama lalu dibuang padang sehingga mendorongnya berbalah dengan pengadil, Manjit Singh dan penolongnya, Rosdi Shaharul yang memaksa perlawanan terhenti beberapa minit.

Menurut Jawatankuasa Rayuan, rakaman video menunjukkan Shahrul tidak berlaku ganas terhadap pengadil dan hanya menyentuh dadanya sekali gus tidak adil untuk menggantungnya setahun dan mendenda RM3,000 di bawah Seksyen 7A.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koN3475m
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan