ARKIB : 05/08/1999
PEMAIN negara, Rusdi Suparman (no.9) rebah selepas
dibentes oleh pemain pertahanan Kemboja, Choun Maline pada perlawanan bola
sepak kumpulan B Sukan SEA XX Brunei, semalam. Malaysia menang 7-2.
MALAYSIA seperti melepas geram sesudah diaibkan
Indonesia kelmarin apabila membelasah Kemboja yang bermain sembilan orang, 7-2
pada perlawanan kumpulan B, bola sepak Sukan SEA XX Brunei di Stadium Balapan
dan Padang, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Namun, kemenangan besar itu tidak membawa makna
apabila Singapura turut menang 3-1 ke atas Brunei pada satu lagi perlawanan
kumpulan B di Kompleks Sukan Berakas.
Kejayaan Singapura menutup terus pintu skuad negara ke
separuh akhir.
Malaysia hanya akan beraksi pada perlawanan terakhir
menentang Brunei esok sebagai pelengkap jadual selain misi membersihkan imej.
Pemain tengah, Ahmad Shahrul Azhar menjaringkan hatrik
manakala penyerang Wan Rohaimi Ismail dan Rusdi Suparman masing-masing
menyumbangkan dua gol untuk Malaysia mencatat kemenangan sulung dalam temasya
edisi ke-20 ini.
Begitupun, kemenangan besar sekalipun masih
memperlihatkan kepincangan barisan pertahanan negara yang memboloskan dua gol
mudah.
Ketika skuad negara mendahului 2-0 seawal minit
pertama dan kelapan menerusi Wan Rohaimi dan Ahmad Shahrul, barisan pertahanan
masih leka apabila Kemboja membuat kejutan.
V. Murugan yang diturunkan mengawal gawang kali ini
tidak mampu mengekang jaringan Hok Sochentra minit ke-17 dan Chan Arunreath
(36), mujur Ahmad Shahrul mematikan rentak Kemboja dengan jaringan ketiga
sebelum tamat babak pertama.
Ternyata corak permainan skuad negara masih sama
dengan pertemuan dengan Indonesia kelmarin cuma Kemboja gagal memberikan
saingan setelah kehilangan dua pemainnya yang dilayangkan kad merah pada babak
kedua.
Malaysia sepatutnya mendapat jaringan lebih besar
tetapi pemain kelihatan tidak berminat. Banyak peluang disia-siakan di depang
gol dan Wan Rohaimi - yang berpeluang mencatat hatrik sesudah gol kedua
peribadinya minit ke-71 dan kelima Malaysia - menyepak tinggi bola sepakan
penalti yang dihadiahkan pada minit ke-85.
Sebelum itu, Rusdi yang masuk menggantikan Ahmad
Shahruddin Rosdi pada minit ke-65, bagaimanapun lebih bernasib baik apabila
sentuhan pertamanya apabila menguis masuk bola umpanan silang Syamsul Amri Abu
Bakar.
Sesudah gol kelima Malaysia hasil jaringan Wan
Rohaimi, Rusdi sekali lagi menemui sentuhan dengan rembatan leret untuk gol
kedua minit ke-81 dan keenam Malaysia.
Ahmad Shahrul, yang mendapat pujian Abdul Rahman
Ibrahim atas aksi bagusnya sepanjang perlawanan itu, menjaringkan gol ketujuh
seminit sebelum tamat perlawanan. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan