Sabtu, 10 Jun 2017

Satu kesilapan ubah nasib Ahmad Shahrul



ARKIB : 08/01/2006

Oleh: A. JAILANI ABDULLAH
KUALA LUMPUR - Hanya satu kesilapan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian menerima padah.

Hanya kerana tangannya menyentuh tubuh pembantu pengadil periuk nasinya berada dalam bahaya.

Gara-gara satu `tindakan ganas terhadap pegawai perlawanan' - mengikut terma dalam buku undang-undang perlawanan - yang boleh membawa pelbagai maksud, khidmat dan jasa bekas ketua pasukan kebangsaan itu kepada bola sepak negara terlupa untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lantas dihukum gantung permainan selama setahun, kelmarin.

Hukuman ke atas pemain tengah itu agak mengejutkan - terlalu berat berbanding tindakannya yang tidaklah sehingga mencederakan pegawai keempat Rosdi Shaharul.

Secara keseluruhannya, Ahmad Shahrul digantung 12 bulan dan denda RM3,000 kerana berkelakuan ganas terhadap pengadil dalam perlawanan menentang MPPJ Selangor pada 31 Disember lepas selepas dilayangkan kad merah rentetan daripada kesalahan ke atas penyerang MPPJ Rachid Zmama. Dia juga dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan kerana menyiku Zmama dalam perlawanan itu dan didenda RM1,000.

Ahmad Shahrul pernah mewakili negara selama enam tahun. Dia merupakan ketua pasukan negara dari 1999 sehingga 2002.

Selama ini Ahmad Shahrul dikenali sebagai pemain yang berdisiplin dan tidak mudah melatah.

Dia memang pernah menerima hukuman kad merah sebelum insiden terbaru di Stadium Perak, Ipoh 31 Disember lepas, tetapi itu cerita lama - 10 tahun dulu. Itupun kerana pengadil Che Man Che Mud tersilap orang, melayangkan kad merah kepadanya atas kesalahan yang dilakukan oleh pemain lain.

``Saya tidak mempunyai niat untuk mengkasari dia (Rosdi). Kami adalah kenalan. Sebelum perlawanan saya telah mengucapkan tahniah kepadanya kerana menerima lencana FIFA.

``Saya menolaknya kerana saya mahu bertanya kepada (pengadil) Manjit Singh mengapa saya dilayangkan kad merah.

``Sebagai ketua pasukan saya sememangnya mempunyai hak untuk berdepan dengan pengadil,'' kata Ahmad Shahrul, bapa kepada tiga anak, dua antaranya sedang bersekolah.

Katanya, dia mengaku bersalah tetapi berasa kecewa kerana hukuman ke atasnya begitu berat.

``Saya fikir apabila mengaku bersalah akan mendapat pertimbangan daripada pihak panel Lembaga Tatatertib... malangnya tidak. Saya terkejut. Saya fikir akan dikenakan tindakan gantung tiga atau empat perlawanan sahaja kerana saya tiada niat.

``Saya akan membuat rayuan kerana ini melibatkan maruah dan periuk nasi.

``Orang tahu rekod saya selama bermain dalam liga ataupun untuk negara. Saya harap Lembaga Tatatertib mempertimbangkannya.

``Berbanding kes Halim Napi dengan saya jauh berbeza. Ada insiden lebih teruk lagi. Lembaga Tatatertib juga perlu mengambil kira mengapa pemain boleh bertindak kasar... jangan hanya melihat kesalahan pemain.

Halim, bekas penjaga gol Kelantan menjadi pemain pertama digantung 12 bulan pada 1997 kerana salah laku ke atas pegawai perlawanan. Rakaman video jelas menunjukkan dia bertindak `ganas' dengan niat. Hukumannya kemudian dikurangkan tiga bulan selepas merayu.

``Jika alasan untuk mengatakan pengadil melakukan kesilapan kerana dia manusia, pemain juga manusia yang akan hilang sabar jika tertekan.

``Malam itu bukan saya seorang marah, tetapi satu stadium. Jika begini tindakannya, orang akan terus memperlekehkan pemain. Pengadil mempunyai peraturan yang mengatakan hukuman disebabkan melakukan tidak boleh didedahkan, mereka mempunyai pembelaan tetapi pemain tidak,'' kata Ahmad Shahrul yang mempunyai tempoh sehingga 20 Januari untuk merayu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4jaYLg3ee
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan