ARKIB : 09/03/2006
Ads by Kiosked
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Dua kes
berprofil tinggi melibatkan bekas ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar
Sofian yang `dibicarakan semula' dan salah laku Naib Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Datuk Anifah Aman menjadi tumpuan Jawatankuasa Tatatertib,
hari ini.
Mereka dijangka menghadap
jawatankuasa yang dipengerusikan sama ada oleh Tan Sri Aseh Che Mat atau
timbalannya, Datuk Abdul Hamid Mustapha di Wisma FAM, Kelana Jaya,
masing-masing ekoran peristiwa perlawanan liga, tahun lalu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Seri Dr. Ibrahim Saad mengesahkan perbicaraan dua kes berkenaan kepada Utusan
Malaysia di sini, semalam.
Pada 7 Februari lalu,
Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul, bekas ketua pasukan kebangsaan,
tersilap dikenakan tuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib berhubung perlawanan
Liga Super, 31 Disember menentang MPPJ di Stadium Perak, Ipoh.
Dia didakwa menyiku pemain
MPPJ, Rachid Zmama lalu dibuang padang sehingga mendorongnya berbalah dengan
pengadil, Manjit Singh dan penolongnya, Rosdi Shaharul yang memaksa perlawanan
terhenti beberapa minit.
Menurut Jawatankuasa Rayuan,
rakaman video menunjukkan Shahrul tidak berlaku ganas terhadap pengadil dan
hanya menyentuh dadanya sekali gus tidak adil untuk menggantungnya setahun dan
mendenda RM3,000 di bawah Seksyen 7A.
Bagaimanapun Jawatankuasa
Rayuan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan pada 6 Januari itu sehingga tuduhan
baru di bawah Seksyen 6A dikenakan dan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib,
hari ini.
Jika Shahrul Azhar, 31,
didapati bersalah, tuduhan baru ini mungkin hanya mengenakannya hukuman
maksimum penggantungan tiga perlawanan dan denda sebanyak RM1,000 berbanding
yang lama, digantung setahun dan denda RM3,000.
Sementara itu, Anifah pula
dibicarakan atas tuduhan mengkritik mutu pengadilan dalam perlawanan ketika
menjadi pengurus pasukan Sabah pada persaingan Liga Perdana musim lalu.
Kes beliau sepatutnya didengar
pada Januari lalu tetapi ditangguhkan kerana pengadil perlawanan berkenaan
tidak dapat hadir untuk memberikan keterangan berikutan masih mengerjakan haji
di Mekah.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4koHL7zKN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan