Ahad, 4 Jun 2017

Perak masih berbisa - Shahrul



ARKIB : 23/09/2005

KUALA LUMPUR - Tanpa Frank Seator, Perak tetap berupaya merobek gawang Selangor malahan sentuhan Keita Mandjou yang semakin berbisa menjadi taruhan terbaik pasukan Kejor Yob Kejor untuk memenangi perlawanan akhir Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar berkata, ada rahmat tersembunyi walaupun ketiadaan Seator yang digantung perlawanan kerana lawan pasti menganggap bisa serangan Perak tumpul tanpa pemain dari Liberia itu.

``Selangor mungkin menganggap bahagian depan Perak pincang tanpa Seator yang mungkin mendorong Selangor sedikit alpa untuk kental berkubu.

``Tetapi Perak memiliki gandingan berbisa esok, Keita Mandjou dan Abdoulaye Troure yang sudahpun membuktikan keserasian.

``Tidak dinafikan ketiadaan Seator dirasai malam esok tetapi Mandjou sama hebat dengan Seator.

``Malahan kedua-duanya telahpun menjaringkan 10 gol dalam saingan Liga Super untuk Perak.

``Perak yakin gandingan baru yang semakin berbisa Mandjou-Traore, mampu membantu kami mempertahankan Piala FA,'' katanya.

Mengenai ketiadaan gandingannya di bahagian tengah, K. Nantha Kumar yang turut digantung perlawanan, Ahmad Shahrul berkata ia akan diisi oleh pemain Slovakia, Marian Juhas.

Katanya, dia dan Juhas mampu menguasai bahagian tengah kerana mereka pernah bergandingan sebelum ini sekali gus menyangkal akan menghadapi masalah kurang persefahaman.

``Apa yang pasti, Perak tidak akan hilang rentak tanpa Seator dan Nantha malahan jurulatih Toni Netto sudahpun mengenal pasti kesebelasan utama hari ini (semalam) yang hendak diturunkan.

``Semangat kami untuk memastikan Perak menamatkan kempen bola sepak musim ini dengan cemerlang, sentiasa menyala dan mengiringi para pemain pada perlawanan akhir,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0923&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j3BOIavL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan