Khamis, 22 Jun 2017

Ahmad Shahrul Azhar dilantik Setiausaha Kehormat Pafa

22 Jun 2017 5:19 PM
IPOH 22 Jun - Bekas ketua pasukan kebangsaan dan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dilantik sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan pengurus pasukan Perak.




Presiden Pafa, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pelantikan Ahmad Shahrul, 43, menggantikan Datuk Jamal Mohd. Aris akan berkuatkuasa mulai 1 Julai ini.


Menurutnya, Ahmad Shahrul merupakan individu yang berkelayakan dan berpengalaman luas dalam bola sepak tanah air iaitu selama 13 tahun.

“Kafa berkeyakinan penuh di atas pengalaman serta keupayaan Ahmad Shahrul akan dapat membantu pengurusan untuk meneruskan kecemerlangan bola sepak negeri Perak pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Shahrul anak kelahiran Ipoh beraksi untuk pasukan negeri Perak dari tahun 1996 hingga 1997.

Dia kembali bersama pasukan Perak pada tahun 2000 hingga 2008 dan menjadi ketua pasukan sepanjang tempoh tersebut.

Ahmad Shahrul pernah menjadi ketua pasukan kebangsaan pada tahun 2002 ketika mewakili pasukan Kebangsaan di Sukan Asia, Busan, Korea Selatan sebelum mengumumkan persaraan pada tahun 2009.

Setelah bersara, dia menjadi penolong pengurus pasukan Perak pada tahun 2013 dan ketua jurulatih pasukan Bawah 21 Negeri Sembilan pada tahun 2014.

Beliau merupakan penolong ketua jurulatih pasukan Felda United FC dalam saingan Liga Super musim ini sebelum dilantik sebagai pengurus Perak dan Setiausaha Kehormat Pafa menggantikan Jamal yang telah mengosongkan jawatan tersebut pada 11 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ahmad-shahrul-azhar-dilantik-setiausaha-kehormat-pafa-1.496060#ixzz4kj85Bmdz

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan