PERAK dijangka mendaftarkan 20 pemain sahaja untuk
beraksi dalam Liga Perdana musim depan sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan
skuad Seladang itu.
Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar
memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan setiap pasukan
mendaftar 25 pemain tetapi Perak tidak akan berbuat demikian.
Sehubungan dengan itu katanya, Perak akan memilih
pemain- pemain yang berkualiti sahaja serta mampu membawa cabaran bersama
pasukan itu.
Raja Ahmad membayangkan Perak akan mengekalkan 13
pemain yang mempamerkan persembahan menarik sepanjang musim lalu bagi musim
baru ini.
Tiga pemain pertahanan _ Khairul Anuar Baharom, Roslan
Hamid dan Chan Kok Heng dikekalkan dan mereka akan berganding dengan pertahanan
dari Hungary, Janos Krecska.
L. Suresh, Ahmad Shahrul Azhar, Azrul Amri Burhan dan
Lim Seng Kong merupakan empat pemain tengah yang akan terus dikekalkan musim
depan.
Penjaring kedua terbanyak Perak, Mat Zahir Wahab yang
ditimpa kemalangan sebelum bermulanya kempen Piala Malaysia tahun lalu akan
terus dikekalkan dalam skuad Seladang itu.
Mat Zahir yang menjaringkan sembilan gol dalam Liga
Perdana lalu akan digandingkan dengan pemenang Anugerah Kasut Emas, Laszlo
Repasi bagi memantapkan serangan Perak kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan