ARKIB : 11/01/2006
Oleh Wan Najib Wan Daud
PULAU PINANG - Jurulatih Perak,
Steve Darby mengakui kekalahan 1-3 yang dialami oleh pasukannya ketika
menentang Pulau Pinang E&O Sabtu lalu, adalah disebabkan ketiadaan ketua
pasukan, Ahmad Shahrul Azhar.
Katanya, Perak masih lagi
terasa kehilangan ketua pasukannya itu malah kekalahan yang dialami ketika
menentang pasukan MPPJ Selangor turut terbawa-bawa ketika menentang Pulau
Pinang E&O.
``Memang diakui kami amat
terasa kehilangan Ahmad Shahrul Azhar dan ditambah dengan kesan dari kekalahan
dengan MPPJ menyebabkan rentak permainan banyak dikuasai oleh pasukan lawan,''
katanya.
Bagaimanapun kata Darby, beliau
menjanjikan kebangkitan semula pasukan Seladang bagi perlawanan seterusnya
Sabtu ini bagi mengukuhkan cengkaman dalam carta Liga Super musim ini.
Mengulas lanjut beliau berkata,
kekalahan Perak kepada Pulau Pinang E&O turut disumbangkan oleh kekentalan
dua pemain lawan iaitu penjaga gol dan pemain pertahanan tengah.
Beliau juga mengakui dua pemain
itu merupakan penyumbang utama masalah kepada jentera serangan yang diketuai
oleh Keita Mandjou, Traore Abdulaye dan R. Surendran.
``Dua pemain itu amat cemerlang
sehinggakan jentera serangan Perak seolah-olah kehilangan idea untuk menembusi
benteng pertahanan bagi mendapatkan gol,'' katanya sambil merujuk kepada Mario
Cesar Da Silva dan dalam perlawanan Sabtu lalu, Perak yang bertandang ke
Stadium Negeri di Batu Kawan mengalami kekalahan kedua berturut-turut hasil
jaringan Zailani Jaafar (minit 31), Mario da Silva (minit 35) dan Zulhisham
Jamaludin (minit 67).
Gol sagu hati Perak dijaringkan
oleh Keita Mandjou pada minit 70.
Namun begitu, kekalahan Perak
turut disertakan dengan gelagat para penyokong setianya apabila bertindak
melampau dengan menconteng perkataan lucah di tempat duduk Stadium Batu Kawan.
Setiausaha Persatuan Bola Sepak
Pulau Pinang (FAP), Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor, sekadar menggeleng apabila
melihat sendiri tulisan lucah itu.
``FAP amat kesal dengan
tindakan penyokong ini. Kami akan membuat laporan kepada FAM supaya tindakan
sewajarnya diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jaj8uNg0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan