Jumaat, 23 Jun 2017

Kapten Seladang kena gantung 4 bulan



 
ARKIB : 18/03/2006
Ads by Kiosked
Kapten Seladang kena gantung 4 bulan
AHMAD Shahrul Azhar Sofian sempat tersenyum kepada wartawan dan jurugambar yang menunggu keputusan kesnya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian digantung empat bulan dan denda RM2,000 atas tuduhan pindaan kerana bertindak di luar jangkaan ketika perlawanan Liga Super menentang MPPJ, 31 Disember lalu.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam, membuat keputusan itu selepas tiga kali membincangkan kes tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Abdul Hamid Mustafa bagaimanapun menafikan keputusan tersebut dibuat kerana tunduk dengan desakan penyokong Perak tetapi dibuat berdasarkan fakta semata-mata.

``Ahmad Shahrul sendiri hadir pada hari ini (semalam) dan mengaku salah atas tuduhan pindaan tersebut.

``Oleh itu Jawatankuasa Tatatertib mendapati beliau bersalah di bawah Perkara 4 Para 5 Peraturan FAM,'' katanya.

Perkara 4 Para 5 menyebut: Pemain-pemain yang semasa bermain dalam mana-mana perlawanan setelah diperintah keluar padang kerana melanggar undang-undang bola sepak dan kemudiannya melakukan kesalahan lagi semasa diperintah keluar semasa atau selepas perlawanan, ia akan dihukum seperti perlawanan berlainan.

Sehubungan itu, kata Abdul Hamid, di bawah Sekyen 18 Peraturan FAM, Jawatankuasa Tatatertib diberi kuasa menetapkan hukuman ke atas Ahmad Shahrul.

Sebelum ini pada perbicaraan pertama kes tersebut pada 6 Januari lalu, Ahmad Shahrul dikenakan hukuman di bawah Peraturan 7(a).

Mengikut peraturan 7(a), pemain yang diperintah keluar padang dan menerima kad merah oleh pengadil kerana berkelakuan ganas terhadap pengawai perlawanan secara automatik dihukum penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000.

Bagaimanapun pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul tersilap dikenakan tuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib berhubung perlawanan menentang MPPJ di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut Jawatankuasa Rayuan, rakaman video menunjukkan Ahmad Shahrul tidak berlaku ganas terhadap pengadil dan hanya menyentuh dadanya sekali gus tidak adil untuk menggantung dan mendendanya.

Berikutan itu, tuduhan ke atasnya dipinda di bawah Peraturan 6(a). Selepas tiada keputusan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib pada 9 Mac lalu, semalam segala-galanya telah terjawab.

Ahmad Shahrul sebelum ini telah pun dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan dan denda RM1,000 oleh Jawatankuasa Rayuan kerana menyiku pemain MPPJ, Rachid Zmama dalam perlawanan yang sama.

Keputusan semalam adalah hukuman kedua dikenakan ke atasnya yang berkuatkuasa mulai 6 Januari lalu.

Ini bermakna Ahmad Shahrul hanya boleh beraksi semula dalam saingan Liga Super selepas 5 Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koTvXNBC
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan