Sabtu, 10 Jun 2017

Ahmad Shahrul digantung setahun - Persatuan Bola Sepak Perak turut didenda ekoran tindakan ganas penonton



ARKIB : 07/01/2006

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
KAPTEN pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar (dua dari kiri) mempertikaikan keputusan pengadil Manjit Singh (kiri) sebelum diperintah keluar padang pada perlawanan Liga Super menentang MPPJ Selangor di Stadium Perak di Ipoh pada 31 Disember lepas. - Bernama.

PETALING JAYA - Bekas ketua pasukan kebangsaan Ahmad Shahrul Azhar Sofian boleh melupakan bola sepak sepanjang tahun ini apabila digantung 12 bulan dan didenda RM3,000 kerana `berlaku ganas' terhadap pegawai perlawanan.

Kesalahan itu dilakukannya sewaktu Perak menentang MPPJ Selangor pada perlawanan Liga Super pada 31 Disember lepas.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Jamal Nasir Rasdi yang sepatutnya turut memberi keterangan di hadapan Lembaga Tatatertib yang dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat semalam, bagaimanapun tidak hadir.

Jamal Nasir menjadi tumpuan kerana beliau merupakan pegawai tertinggi dalam FAM yang pertama dihadapkan ke Lembaga Tatatertib sejak kes Datuk Ahmad Basri Akil lima tahun lepas.

Selain Ahmad Shahrul, para pegawai Seladang termasuk pengurus pasukan, Jamal Nasir turut terlibat dalam insiden itu apabila meluru ke dalam padang dan mempertikaikan keputusan pengadil, Manjit Singh.

Akibatnya, dia berdepan dua pertuduhan iaitu membuat kritikan terbuka selain bertindak ganas ke atas pegawai perlawanan.

Insiden tercetus setelah Ahmad Shahrul diperintah keluar padang oleh Manjit kerana mengkasari penyerang MPPJ Rachid Zmma pada minit ke-77.

Keadaan kecoh di tengah padang itu menyebabkan perlawanan terhenti selama enam minit manakala penyokong Perak bertindak liar dengan membaling objek.

Pembantu pengadil, Zulfikar Abdullah terpaksa mendapatkan rawatan setelah belakang badannya terkena objek dipercayai guli kaca dan kepalanya terkena botol air.

``Atas kekasarannya menyiku pemain lawan, Ahmad Shahrul digantung tiga perlawanan dan didenda RM1,000,'' kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad selepas Lembaga Tatatertib tamat bermesyuarat di Wisma FAM.

``Lembaga Tatatertib turut memberikan amaran keras kepada jurulatih penjaga gol Perak, Talib Saidi kerana masuk ke padang manakala Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) didenda RM10,000 kerana objek telah dibaling ke dalam padang oleh penyokong mereka.

Setiap keputusan boleh dirayu dalam tempoh 14 hari, tetapi bagi kes Ahmad Shahrul agak sukar untuknya mendapatkan hukuman lebih ringan kerana tempoh penggantungannya adalah had minimum yang dikenakan.

Ketiadaan Jamal Nasir, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau, semalam menyebabkan kesnya ditangguhkan ke minggu depan, bermakna Lembaga Tatatertib mencipta sejarah akan membicarakan dua naib presidennya serentak. Seorang lagi pengurus Sabah, Datuk Anifah Aman kerana mengkritik pengadil.

Lembaga Tatatertib juga menggantung pemain Negeri Sembilan, Bakhtiar Othman dua perlawanan dan denda RM3,000 kerana meludah muka Josiah Seton ketika menentang Pahang, 3 Disember lalu di Paroi.

Mengenai insiden tiga pemain Selangor, Fairuz Montana Zainal Abidin, Amri Yahyah dan K. Sanbagamaran yang hampir bergaduh dengan penonton, Dr. Ibrahim berkata, Lembaga Tatatertib akan memanggil mereka untuk mendapatkan keterangan kerana tidak berpuas hati dengan hukuman hanya amaran keras yang diberikan oleh FAS (Persatuan Bola Sepak Selangor) ke atas mereka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jaTgFEGU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan