Sabtu, 10 Jun 2017

Keputusan rayuan Shahrul Azhar 7 Februari



ARKIB : 24/01/2006

KUALA LUMPUR - Keputusan rayuan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian terhadap hukuman penggantungannya selama 12 bulan kerana mengasari seorang penolong pengadil, 31 Disember lalu, bakal diketahui pada 7 Februari ini.

Kesnya itu kini dirujuk kepada Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas menerima surat rayuannya, Jumaat lalu di samping menimbangkan rayuan Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) yang didenda RM10,000.

Shahrul Azhar dan majikannya itu telah diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu sebelum jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Seri Abdul Shukor, bersidang di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kedua-duanya dijatuhkan hukuman itu oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 6 Januari lalu ekoran insiden tegang pada perlawanan Liga Super antara Perak dengan MPPJ di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan pelawat menang 2-1.

Shahrul Azhar yang turut didenda RM3,000 oleh lembaga, dikatakan menolak pegawai perlawanan berkenaan, Rosdi Shaharul selepas dibuang padang oleh pengadil, Manjit Singh akibat kekasaran ke atas penyerang MPPJ, Rachid Zmama.

PFA pula didenda RM10,000 kerana tindakan ganas penonton skuad Seladang yang melontar pelbagai objek ke padang sebagai tanda tidak puas hati terhadap mutu pengadilan Manjit sehingga perlawanan tertangguh beberapa minit.

Shahrul Azhar bagaimanapun tidak dapat mengulas panjang mengenai rayuannya kerana arahan PFA selain tidak mahu menjejaskan kedudukan kesnya yang bakal dipertimbangkan oleh jawatankuasa itu.

``Kini saya hanya menunggu keputusan rayuan dan apa-apa pun, saya hanya boleh cakap pada hari itu (7 Februari),'' katanya yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan antara 1999 hingga Sukan Asia Busan 2002, kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, setakat ini hanya dua kes berkenaan yang bakal dipertimbangkan jawatankuasa dan pihaknya tidak menerima lain-lain rayuan daripada pemain yang pernah dihukum sebelum ini.

Tanggal 16 Januari lalu, tiga pemain Selangor, K. Sanbagamaran, Amri Yahyah dan Fairuz Montana Zainal Abidin didenda antara RM3,000 hingga RM5,000 kerana berbalah dengan penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil selepas tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan dalam Liga Super.

Jawatankuasa itu, turut menggantung dua perlawanan dan mendenda RM1,000 ke atas S. Shanker (Pulau Pinang), Fakhruddin Shah Sallehuddin (Shahzan Muda), Ahmad Latiff Khamarudin (Johor), M. Khairul Othman (Kedah) dan Maldo Nado (Melaka) kerana dibuang padang pada Liga Super dan Perdana.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4jc7xftVM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan