Jumaat, 23 Jun 2017

FAM jamin hukuman adil -- Kes perbicaraan Ahmad Shahrul



ARKIB : 14/03/2006

Oleh AMRAN MULUP
 PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan hukuman setimpal ke atas ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar (gambar) di bawah peruntukan 6(a) seperti yang diarahkan oleh jawatankuasa rayuan badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, badan induk itu tidak mempunyai hasrat untuk membunuh karier seseorang pemain bola sepak itu.

``Jika mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang Jumaat ini mendapati Ahmad Shahrul bebas, maka dia sudah boleh bermain untuk Liga Super pada hari Sabtu ini.

``Saya yakin Jawatankuasa Tatatertib akan membuat keputusan yang akan memuaskan hati semua pihak,'' ujarnya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Ibrahim turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa FAM sengaja melewatkan perbicaraan semula ketua pasukan Perak itu.

Beliau menegaskan, perkara itu adalah tidak benar.

Ujarnya, FAM mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi termasuk juga kes yang melibatkan Ahmad Shahrul.

``Mesyuarat jawatankuasa Tatatertib pada 9 Mac lalu tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana Ahmad Shahrul tidak dipanggil.

``Jawatankuasa berpendapat sebarang bentuk keputusan yang dibuat di bawah peraturan 6(a) seperti yang diarahkan mesti dihadiri oleh Ahmad Shahrul,'' ujarnya.

Sehubungan itu, kata Ibrahim, jawatankuasa yang bersidang Khamis lalu menetapkan tarikh 17 Mac ini untuk perbicaraan semula ketua pasukan Perak itu.

``Saya harap semua pihak bertenang...kita mesti ikut peraturan dan bukan sewenang-wenangnya, FAM akan buat keputusan yang tepat dan adil untuk semua pihak,'' ujarnya.

Pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan mengetepikan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000 yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib pada 6 Januari lalu ke atas Ahmad Shahrul.

Sebaliknya, jawatankuasa Rayuan mengarahkan perbicaraan semula pemain itu di bawah peraturan 6(a) dan bukannya 7(a).

Mengikut hukuman di bawah 6(a) Ahmad Shahrul, dijangka dihukum penggantungan tiga perlawanan dan denda RM1,000.

Sementara itu, FAM meminta MPPJ tidak menggunakan khidmat bekas jurulatih Perak, Toni Netto mengendalikan sesi latihan pasukan itu.

Kata Ibrahim, selagi MPPJ tidak mendaftarkan Netto selaku jurulatih pasukan itu, jurulatih dari Brazil itu ditegah mengendalikan sesi latihan.

Ujarnya, setakat ini MPPJ masih lagi menyenaraikan jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4koOVJDCN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan