ARKIB : 03/01/2004
KETUA pasukan Perak, Ahmad
Shahrul Azhar mengingatkan anak-anak buahnya supaya bermain dengan ikhlas dan
memberikan sumbangan yang bermakna kepada kemajuan pasukan itu di masa-masa
akan datang, lapor MOHD. ROMZI SAMSUDIN.
Katanya, para pemain yang telah
menandatangani kontrak dengan skuad Seladang bagi menghadapi persaingan Liga
Super musim depan, wajar menunjukkan komitmen mereka terhadap pasukan dengan
menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi.
``Para pemain mesti taat setia
kepada pasukan bola sepak negeri dan persatuan supaya dapat memberikan
sumbangan yang bermakna setimpal dengan apa yang mereka dapat,'' katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia di
majlis Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah (Terbuka) anjuran UMNO Cawangan Sungai
Siput (U) di Kampung Bahagia di Sungai Siput, semalam.
Turut hadir Exco Kerajaan Negeri,
Datuk Chang Ko Youn dan Timbalan Ketua UMNO cawangan berkenaan, Suhaimi Saidin
merangkap Ketua Pegawai Operasi UPD Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Kumpulan
Utusan.
Shahrul mengulas kenyataan
pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang menuntut semua pemain memberi
kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan agar Skuad Seladang mampu
mencatat kecemerlangan dalam persaingan Liga Super musim depan.
Menurut Shahrul, apa yang
diutarakan oleh Jamal Nasir itu adalah tepat kerana pemain sepatutnya setia
pada pasukan dan seterusnya bermain bersungguh-sungguh selaras dengan apa yang
diberikan oleh persatuan kepada mereka.
Katanya, walaupun kebajikan
pemain adalah tugas persatuan, namun pemain bertanggungjawab bermain dengan
sepatutnya dan bekerja keras menaikkan nama Perak dalam arena bola sepak tanah
air.
``Pemain mesti komited terhadap
perjanjian kerana dari situlah datangnya kesinambungan antara pemain, majikan
dan penyokong yang bakal menyumbang kepada kejayaan pasukan Perak,'' tegasnya
lagi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4dj7vXNF5©
Utusan Melayu (M) Bh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan