Jumaat, 23 Jun 2017

Kapten Seladang kena gantung 4 bulan



 
ARKIB : 18/03/2006
Ads by Kiosked
Kapten Seladang kena gantung 4 bulan
AHMAD Shahrul Azhar Sofian sempat tersenyum kepada wartawan dan jurugambar yang menunggu keputusan kesnya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

PETALING JAYA - Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian digantung empat bulan dan denda RM2,000 atas tuduhan pindaan kerana bertindak di luar jangkaan ketika perlawanan Liga Super menentang MPPJ, 31 Disember lalu.

Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam, membuat keputusan itu selepas tiga kali membincangkan kes tersebut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Abdul Hamid Mustafa bagaimanapun menafikan keputusan tersebut dibuat kerana tunduk dengan desakan penyokong Perak tetapi dibuat berdasarkan fakta semata-mata.

``Ahmad Shahrul sendiri hadir pada hari ini (semalam) dan mengaku salah atas tuduhan pindaan tersebut.

``Oleh itu Jawatankuasa Tatatertib mendapati beliau bersalah di bawah Perkara 4 Para 5 Peraturan FAM,'' katanya.

Perkara 4 Para 5 menyebut: Pemain-pemain yang semasa bermain dalam mana-mana perlawanan setelah diperintah keluar padang kerana melanggar undang-undang bola sepak dan kemudiannya melakukan kesalahan lagi semasa diperintah keluar semasa atau selepas perlawanan, ia akan dihukum seperti perlawanan berlainan.

Sehubungan itu, kata Abdul Hamid, di bawah Sekyen 18 Peraturan FAM, Jawatankuasa Tatatertib diberi kuasa menetapkan hukuman ke atas Ahmad Shahrul.

Sebelum ini pada perbicaraan pertama kes tersebut pada 6 Januari lalu, Ahmad Shahrul dikenakan hukuman di bawah Peraturan 7(a).

Mengikut peraturan 7(a), pemain yang diperintah keluar padang dan menerima kad merah oleh pengadil kerana berkelakuan ganas terhadap pengawai perlawanan secara automatik dihukum penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000.

Bagaimanapun pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul tersilap dikenakan tuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib berhubung perlawanan menentang MPPJ di Stadium Perak, Ipoh.

Menurut Jawatankuasa Rayuan, rakaman video menunjukkan Ahmad Shahrul tidak berlaku ganas terhadap pengadil dan hanya menyentuh dadanya sekali gus tidak adil untuk menggantung dan mendendanya.

Berikutan itu, tuduhan ke atasnya dipinda di bawah Peraturan 6(a). Selepas tiada keputusan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib pada 9 Mac lalu, semalam segala-galanya telah terjawab.

Ahmad Shahrul sebelum ini telah pun dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan dan denda RM1,000 oleh Jawatankuasa Rayuan kerana menyiku pemain MPPJ, Rachid Zmama dalam perlawanan yang sama.

Keputusan semalam adalah hukuman kedua dikenakan ke atasnya yang berkuatkuasa mulai 6 Januari lalu.

Ini bermakna Ahmad Shahrul hanya boleh beraksi semula dalam saingan Liga Super selepas 5 Mei ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koTvXNBC
© Utusan Melayu (M) Bhd

FAM panggil Ahmad Shahrul



ARKIB : 15/03/2006

KUCHING - Selepas kesnya `tertangguh' kerana tidak dipanggil pada mesyuarat jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 9 Mac lalu, semalam Ahmad Shahrul Azhar mendapat panggilan rasmi dari FAM supaya hadir pada mesyuarat Jumaat ini.

Ahmad Shahrul yang juga bekas ketua pasukan kebangsaan berkata, dia telah dimaklumkan oleh pegawai Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) supaya hadir pada mesyuarat tersebut di Wisma FAM, Petaling Jaya pada pukul 3 petang.

Katanya, dia akan menghadiri mesyuarat tersebut bagi mengetahui hukuman yang bakal diterimanya.

``Saya telah dimaklumkan oleh PFA bahawa FAM meminta saya hadir pada mesyuarat Jumaat ini.

``Tidak menjadi masalah untuk saya hadir. Ia khabar yang melegakan kerana penantian saya bakal berakhir...tidak kiralah apa hukuman yang bakal dikenakan.

``Saya yakin FAM akan bertindak adil dalam kes saya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat 9 Mac lalu tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana Ahmad Shahrul tidak dipanggil.

Pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul tersilap dikenakan tuduhan ketika perlawanan Liga Super 31 Disember lalu menentang MPPJ di Stadium Perak, Ipoh.

Ahmad Shahrul juga mengakui dia tidak dipanggil oleh FAM ketika kesnya `dibicarakan semula' pada 9 Mac lalu.

``Saya tidak tahu kenapa saya tidak dipanggil pada mesyuarat tersebut.

``Sikap telus FAM terbukti apabila hukuman ke atas saya dibicara semula di bawah peraturan 6(a) dan bukannya 7(a),'' katanya.

Peraturan 6(a) memperuntukkan hukuman penggantungan tiga perlawanan dan denda RM1,000

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4koQoRii9© Utusan Melayu (M) Bhd

FAM jamin hukuman adil -- Kes perbicaraan Ahmad Shahrul



ARKIB : 14/03/2006

Oleh AMRAN MULUP
 PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi jaminan hukuman setimpal ke atas ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar (gambar) di bawah peruntukan 6(a) seperti yang diarahkan oleh jawatankuasa rayuan badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, badan induk itu tidak mempunyai hasrat untuk membunuh karier seseorang pemain bola sepak itu.

``Jika mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang Jumaat ini mendapati Ahmad Shahrul bebas, maka dia sudah boleh bermain untuk Liga Super pada hari Sabtu ini.

``Saya yakin Jawatankuasa Tatatertib akan membuat keputusan yang akan memuaskan hati semua pihak,'' ujarnya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Ibrahim turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa FAM sengaja melewatkan perbicaraan semula ketua pasukan Perak itu.

Beliau menegaskan, perkara itu adalah tidak benar.

Ujarnya, FAM mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi termasuk juga kes yang melibatkan Ahmad Shahrul.

``Mesyuarat jawatankuasa Tatatertib pada 9 Mac lalu tidak dapat membuat sebarang keputusan kerana Ahmad Shahrul tidak dipanggil.

``Jawatankuasa berpendapat sebarang bentuk keputusan yang dibuat di bawah peraturan 6(a) seperti yang diarahkan mesti dihadiri oleh Ahmad Shahrul,'' ujarnya.

Sehubungan itu, kata Ibrahim, jawatankuasa yang bersidang Khamis lalu menetapkan tarikh 17 Mac ini untuk perbicaraan semula ketua pasukan Perak itu.

``Saya harap semua pihak bertenang...kita mesti ikut peraturan dan bukan sewenang-wenangnya, FAM akan buat keputusan yang tepat dan adil untuk semua pihak,'' ujarnya.

Pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan mengetepikan hukuman penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000 yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib pada 6 Januari lalu ke atas Ahmad Shahrul.

Sebaliknya, jawatankuasa Rayuan mengarahkan perbicaraan semula pemain itu di bawah peraturan 6(a) dan bukannya 7(a).

Mengikut hukuman di bawah 6(a) Ahmad Shahrul, dijangka dihukum penggantungan tiga perlawanan dan denda RM1,000.

Sementara itu, FAM meminta MPPJ tidak menggunakan khidmat bekas jurulatih Perak, Toni Netto mengendalikan sesi latihan pasukan itu.

Kata Ibrahim, selagi MPPJ tidak mendaftarkan Netto selaku jurulatih pasukan itu, jurulatih dari Brazil itu ditegah mengendalikan sesi latihan.

Ujarnya, setakat ini MPPJ masih lagi menyenaraikan jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4koOVJDCN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahmad Shahrul mahu segera beraksi



 
ARKIB : 13/03/2006
Ahmad Shahrul mahu segera beraksi
Ahmad Shahrul.

KUALA LUMPUR - Ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berharap mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang `membicarakan semula' hukuman terhadapnya Jumaat ini bakal menghasilkan keputusan yang memihak kepadanya.

Menurut bekas ketua pasukan kebangsaan itu yang pada awalnya digantung setahun dan denda RM3,000 kerana berbalah dengan pengadil pada perlawanan Liga Super Disember lalu, dia sudah tidak sabar-sabar untuk kembali beraksi apatah lagi di saat Perak semakin menyerlah dengan menduduki tangga teratas Liga Super.

Katanya, menjelang 17 Mac ini dia sudah terlepas 10 perlawanan untuk Perak dan tidak mahu menunggu lebih lama untuk mengetahui hukuman yang bakal diterimanya.

``Jika boleh saya mahu segera beraksi tetapi segala-galanya terserah kepada FAM untuk mengadili hukuman ke atas saya. Selepas tiada keputusan dibuat pada mesyuarat baru-baru ini (9 Mac), saya terpaksa terus menunggu sehingga 17 Mac ini.

``Saya bersedia menerima apa juga hukuman tetapi berharap ia adil kepada saya,'' katanya ketika dihubungi Sukan Utusan, semalam.

Pada 7 Februari lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul tersilap dikenakan tuduhan oleh Jawatankuasa Tatatertib berhubung perlawanan Liga Super, 31 Disember lalu menentang MPPJ di Stadium Perak, Ipoh.

Dia didakwa menyiku pemain MPPJ, Rachid Zmama lalu dibuang padang sehingga mendorongnya berbalah dengan pengadil, Manjit Singh dan penolongnya, Rosdi Shaharul yang memaksa perlawanan terhenti beberapa minit.

Menurut Jawatankuasa Rayuan, rakaman video menunjukkan Shahrul tidak berlaku ganas terhadap pengadil dan hanya menyentuh dadanya sekali gus tidak adil untuk menggantungnya setahun dan mendenda RM3,000 di bawah Seksyen 7A.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0313&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koN3475m
© Utusan Melayu (M) Bhd