ARKIB : 23/03/2001
Shahrul, Rusdi mungkin berehat
DOHA, Qatar - Dua pemain utama
skuad bola sepak kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Rusdi Suparman
kemungkinan besar terpaksa direhatkan pada perlawanan kedua menentang Hong Kong
dalam kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia di Stadium Al-Sadd, awal pagi
esok, akibat mengalami kecederaan.
Jurulatih negara, Allan Harris
berkata, Shahrul yang juga ketua pasukan kebangsaan, mungkin terpaksa
diletakkan di bangku simpanan setelah mengalami kecederaan betis.
``Dia mengalami kecederaan itu
semasa menentang Qatar Selasa lalu apabila gagal menyepak kemas bola. Semasa
latihan, dia mengadu sakit di bahagian berkenaan.
``Manakala Rusdi cedera di buku
lali kanan semasa perlawanan yang sama. Saya khuatir mereka tidak dapat bermain
dalam perlawanan dengan Hong Kong nanti. Ia adalah satu masalah kepada pasukan
kita,'' kata Harris, semalam.
Shahrul dan Rusdi mengadu
kesakitan semasa skuad negara menjalani latihan di padang latihan Stadium
Al-Wakra, kira-kira 20 kilometer dari hotel penginapan.
Menurut Harris, dia sudah
bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mencari pengganti dua pemain
itu jika mereka tidak dapat diturunkan.
Jurulatih England itu
bagaimanapun tidak memberitahu pengganti mereka tetapi jika dilihat kepada
barisan pemain simpanan yang ada, kemungkinan Gilbert Cassidy Gawing akan
mengambil tempat di bahagian sayap kiri. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bVJ27h6t
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan