Sabtu, 11 Mac 2017

Pemain NS terpukau -- Terlalu banyak kesilapan dilakukan - Zaki

ARKIB : 17/10/2000
TIADA apa yang dapat dikatakan terhadap nasib malang yang menimpa skuad Negeri Sembilan, selain terus mengharap 'bulan jatuh ke riba' agar derita berpanjangan untuk membawa pulang piala itu terus menjadi kenyataan.

Terlalu banyak kesilapan yang dilakukan oleh skuad si Rusa ini, sehinggakan jurulatih, Mohd. Zaki Sheikh Ahmad menggelengkan kepala apabila soalan itu diajukan oleh pemberita.

Hanya yang terjawab olehnya, ''mereka bermain dengan gugup, gementar dan banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.'' Jika inilah yang dijelaskan oleh Zaki, maka peminat skuad 'Hobin Jang Hobin' harus menerima kekalahan pasukan ini sebagai kenyataan pahit.

Memang benar, Negeri Sembilan gagal menunjukkan taring sepanjang babak pertama, sebaliknya mengamalkan sikap bertahan dan menunggu bola, sehingga beberapa kali terperangkap dengan taktik yang serba tidak menjadi itu.

Peluang inilah yang digunakan oleh pasukan Perak untuk mencipta jaringan gol menerusi Muhammad Khalid Jamlus pada minit ke-52 dan V.Saravanan di minit ke-80.

Negeri Sembilan ternyata terpukau dengan gerakan pantas Perak dan kata Zaki, ''Perak menggunakan taktik deras dan gerakan itu, kadangkala mengelirukan pemain Negeri Sembilan. Barisan tengah kita longgar dan jaringan gol yang pertama itu sepatutnya tidak berlaku, jika pertahanan bersefahaman.''

Tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur dan tambah Zaki, ''kita akan belajar dari kesilapan.''

Namun pujian harus juga diberikan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Hamsani yang kerap kali menyelamatkan gawang dari terus dibolosi akibat kesilapan yang dilakukan oleh pemain tengah dan pertahanan.

Walaupun begitu, serangan bertubi-tubi pada babak kedua tidak mampu ditahan oleh Mohd. Hamsani, di mana akhirnya meleraikan ketegangan skuad Perak dalam mencuri jaringan gol.

Perak pula yang dibimbing oleh jurulatih cukup berpengalaman, Karl Heinz Weigang tetap mampu mengawal suasana tegang di babak pertama, biarpun permainan hambar Negeri Sembilan, tidak merancakkan barisan serangan kedua-dua pasukan.

Perak yang beraksi dengan skil telah menggunakan sepenuh tenaga barisan penyerang, Khalid, Saravanan dan Azrul Amri Burhan untuk mengatur strategi serang balas walaupun beberapa kali terperangkap dengan off side yang dibuat oleh pertahanan Rusa.

Maka tidak salah tafsiran Weigang apabila menjelaskan, ''memang Perak layak menang. Kita telah bermain dengan bersungguh-sungguh dan inilah hasilnya.''

Apa pun percaturan Perak pada perlawanan akhir kelmarin memang menjadi dan segala arahan dalam padang oleh ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar kepada anak buah telah merobek hati kira-kira 25,000 penyokong Negeri Sembilan di stadium berkenaan.

''Kami telah lakukan yang terbaik dan kemenangan ini adalah untuk penyokong setia Perak. Terima kasih semua,'' kata Shahrul.

Shahrul yang dianugerahkan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir kelmarin memang layak dinobatkan status itu.

Kemampuan pemain lincah ini yang dianggap mastermind perlawanan akhir, ternyata mengunci pergerakan lawan, khususnya Azman Adnan dan Efendi Malek.

Biar apa pun yang berlaku dalam padang di Stadium Shah Alam ia akan menjadi kenangan buat penyokong kedua-dua pasukan kerana perlawanan yang menarik dan semangat Fair play yang ditunjukkan pemain.

Senario ini pasti akan tersemat sebagai perlawanan unggul di abad ke-21 ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b5TqLHNn © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan