PEMAIN Malaysia tertunduk muram selepas dibelasah
teruk 0-6 oleh Indonesia pada perlawanan bola sepak kumpulan B Sukan SEA XX
Brunei di Stadium Balapan dan Padang, Bandar Seri Begawan, semalam.
TUAH yang diharap, bala pula yang menimpa. Begitulah
nasib skuad bola sepak Malaysia apabila dibelasah teruk 6-0 oleh Indonesia pada
bola sepak Sukan SEA XX Brunei semalam, sekali gus menguburkan impian besar
skuad negara untuk melangkah ke separuh akhir.
Kekalahan terbesar pada perlawanan yang berlangsung di
Stadium Balapan dan Padang itu, adalah yang pertama dalam sejarah pertemuan
dengan Indonesia dalam Sukan SEA sejak 1977.
Sebelum ini, Malaysia tewas 0-4 kepada skuad republik
itu pada temasya 1997 di Jakarta dalam perlawanan kumpulan. Kini Malaysia sudah
boleh dianggap menempah kegagalan kali kelima berturut-turut untuk ke separuh
akhir dalam Sukan SEA sejak 1991.
Dua gol awal Indonesia dalam tempoh sepuluh minit
permainan menerusi Hariyanto Prasetyo dan penyerang lincah, Rochi Putiray,
dianggap detik kemusnahan skuad negara yang mempamerkan persembahan tidak
bermaya sepanjang perlawanan.
Biarpun berjaya mengekang Indonesia dengan dua gol
pada babak pertama itu, Malaysia tidak berupaya menahan asakan menggila
Indonesia yang mudah menambah empat gol lagi pada babak kedua.
Pemain pra-Olimpik Indonesia, Bambang Pamungkas
menyumbangkan dua gol berturut-turut dalam tempoh tujuh minit selepas babak
kedua baru bermula enam minit, sebelum Ali Sunan menambah derita skuad negara
dengan gol kelima 20 minit selepas itu.
Putiray menghentikan 'hukuman' ke atas Malaysia dengan
jaringan penutup enam minit sebelum tamat permainan untuk Indonesia mencatat
sejarah tersendiri berkenduri gol ke atas Malaysia buat pertama kali.
Anak buah Abd. Rahman jelas tidak mampu menyaingi
pemain 'Indonesia yang beraksi pantas dengan sistem yang teratur, hasil
percaturan jurulatih dari Jerman, Bernhard Schumm.
Kepantasan dan kelicikan pemain Indonesia yang
menguasai bahagian tengah melancarkan lagi jentera serangannya mengenakan
hukuman setimpal dengan kerapuhan benteng Malaysia.
Skuad negara hanya meyakinkan dalam tempoh lima minit
pertama permainan tetapi tiba-tiba hilang rentak apabila banyak membuat
kesilapan di bahagian pertahanan.
Kesilapan pertama pada minit kelima mengundang padah
apabila sepakan percuma yang dihadiahkan di luar kotak penalti Malaysia tidak
disia-siakan Heriyanto yang membuat tendangan lencong tepat ke penjuru gawang
Malaysia, langsung gagal dikuis Azmin Azram Aziz untuk gol pembukaan Indonesia.
Tiga minit kemudian, Rochi yang menjadi tumpuan
sepanjang permainan, langsung tidak dikawal mudah menanduk masuk gol kedua.
Malaysia bagaikan diperbudak-budakkan apabila langsung
gagal memegang lama bola apalagi mencipta peluang.
Barisan pemain tengah Yap Wai Loon, B. Rajinikandh dan
Ahmad Shahrul Azhar langsung tidak dapat menggerakkan serangan, menjadikan dua
penyerang, Azizul Kamaluddin dan Wan Rohaimi lebih banyak berlari mengejar
bola.
Kawalan pemain yang longgar, hantaran yang tidak tepat
merupakan faktor utama skuad negara bagaikan sebuah pasukan kelab amatur. Empat
gol pada babak kedua menerusi Bambang, Ali dan Putiray bagaikan lanjutan
hukuman ke atas kegoyahan benteng Malaysia.
Kegagalan skuad negara boleh dianggap menutup terus
peluang untuk ke separuh akhir, kecuali kemenangan dalam dua lagi perlawanan
menentang Kemboja (Rabu) dan Brunei (Jumaat) sambil mengharapkan sesuatu
berlaku ke atas Singapura dan Indonesia.
MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, V. Thinagaran, Abdul Ghani Malek,
Khairul Anuar Baharom (M. Karunakaran), Nazri Yunos (Asmawi Bakiri), B.
Rajinikandh, Yap Wai Loon, Ahmad Shahrul Azhar, Wan Rohaimi Ismail (Rusdi
Suparman), Azizul Kamaluddin.
INDONESIA: Komang Putra, Aji Santoso (Anang Ma'ruf), Acung
Setiyabudi, Sugi Yantoro, Eko Purjianto, Ali Sunan, Hariyanto Prasetyo (Uston
Nawawi), Andrian Mardiansyah, Nur Alim, Bambang Pamungkas (Widodo Chahyono
Putro), Rochi Putiray.
Sementara itu di Kompleks Sukan Berakas, Kemboja
berjaya mengikat tuan rumah 3-3 dalam satu lagi perlawanan kumpulan B. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan