Rabu, 29 November 2017

Pemain tempatan setuju arahan FAM

ARKIB : 04/08/2008
KUALA LUMPUR - Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan terbaru supaya setiap pasukan dan kelab tidak dibenarkan mengambil pemain import, rata-rata pemain tempatan amat menyokong penuh keputusan tersebut, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut pemain pertahan Perak, Ahmad Azlan Zainal, larangan tersebut memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menunjukkan bakat mereka, di samping memberi peluang untuk pemain muda menonjol.

''Walaupun ketiadaan pemain import akan memberi impak kurang meriah dalam liga tempatan tetapi kita sendiri kena akur ada di antara mereka yang betul-betul berkualiti dan sebaliknya,'' kata Azlan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu seorang lagi pemain Perak dan bekas ketua pasukan negara, Ahmad Sharul Azhar Sofian berkata, keputusan yang digariskan oleh FAM itu ada pro dan kontranya.

''Bagi saya dari segi kebaikan ia dapat memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menonjol, tetapi dari satu sudut lain pula ia tidak memberi peluang untuk pemain tempatan belajar dari pemain import yang mempunyai pengalaman luas.

''Kita perlu menilai semula kewujudan sebenar pemain import dan melihat ia dibenarkan bertujuan untuk apa? Kalau dari segi kualiti yang disebabkan ia disekat, saya rasa kita kena menilai semula, mungkin pasukan yang mempunyai masalah kewangan yang mengambil pemain kurang berkualiti,'' kata Ahmad Shahrul.

Bagi penyerang Selangor Akmal Rizal Ahmad Rakhli, keputusan tersebut memberikan kelegaan kepadanya yang bermain di posisi penyerang.

''Sebagai seorang pemain penyerang saya amat menyokong penuh keputusan tersebut, ia akan kembali memberi pengiktirafan kepada penyerang tempatan sekali gus memajukan pasukan kebangsaan.

''Setidak-tidaknya ia memberi peluang kepada penyerang tempatan terbaik kembali menyerlah dan penonton yang datang ke stadium bukan hendak menonton pemain tempatan tetapi menyokong pasukan mereka jika sentiasa mencatat kemenangan,'' kata Akmal.

Pemain yang berasal dari Kedah yang sekarang ini bermain untuk pasukan UPB-MyTeam, Bunyamin Umar berkata, keputusan itu amat baik sekali kerana memberi peluang kepada pemain muda berbakat yang semakin bertambah sekarang ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zrZwsSwu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan