ARKIB : 04/04/2008
IPOH - Kesungguhan para pemain
bertarung sehingga ke saat- saat akhir membolehkan Perak bernafas kembali dalam
persaingan kumpulan E, Piala AFC musim ini.
Skuad Seladang kembali
mencerahkan peluangnya ke pusingan kedua kalah mati piala tersebut setelah
menumpaskan kelab Kitchee FC dari Hong Kong 2-1 pada saat- saat akhir.
Pertahanan import dari Chile,
Mario Barrios meledakkan gol kemenangan pada masa kecederaan membuatkan
beberapa pemain Kitchee terbaring kekecewaan.
Sebelum itu, kedua-dua pasukan
terikat dengan jaringan seri 1 - 1.
Pasukan tuan rumah telah
mendahului lawannya itu melalui rembatan cantik yang dilakukan oleh pemain
tengah, Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-11.
Penyerang import dari
Macedonia, Goran Stankovski menyamakan kedudukan melalui tolakan mudah pada
minit ke-73.
Kemenangan itu meletakkan Perak
pada tangga kedua kumpulan E dengan mengumpul enam mata setelah beraksi tiga
perlawanan.
Ketua Pasukan Perak, Ahmad
Shahrul Azhar bersyukur skuad Seladang dapat mengutip mata penuh walaupun
memberi tekanan yang hebat daripada pihak lawan.
"Kami telah berusaha
berhabisan bagi mempertahankan pintu gol sendiri dan mencari gol
kemenangan," jelas Shahrul.
Penjaga gol Perak, Mohd.
Hamsani Ahmad bersama-sama Barrios, Chan Wing Hoong dan K. Nanthakumar wajar
menerima pujian kerana telah bekerja keras bagi menangkis asakan bertali arus
penyerang lawan.
Kemenangan ke atas Kitchee FC
secara tidak langsung mengubat sedikit kelukaan Perak yang dibelasah oleh
Angkatan Tentera Singapura (ATS) 1-6 di Ipoh pada 18 Mac lalu.
Namun begitu, Perak perlu
melalui laluan berliku untuk ke pusingan kedua kerana terpaksa berdepan dengan
Kitchee FC di Hong Kong pada 16 April ini.
Selepas itu, Perak juga akan
menanti kedatangan kelab New Radiant dari Maldives pada 30 April dan bertandang
ke Singapura untuk menentang ATS pada 14 Mei akan datang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yrKgfFXx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan