7 Oktober 2017
Ahmad Shahrul Azhar
PERSATUAN Bola Sepak Perak
(Pafa) meminta puluhan ribu penyokong membanjiri Stadium Perak di sini 15 Okt
nanti bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara
Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Setiausaha Kehormat Pafa, Ahmad
Shahrul Azhar Sofian berkata meskipun ada kalangan penyokong kecewa kerana
tarikh perlawanan dilewatkan sehari daripada tarikh asal, namun ia bukan
kekangan untuk mereka terus memberikan sokongan kepada skuad The Bos Gaurus.
"Saya percaya penyokong
Perak sudah semakin matang dan tidak akan terbawa-bawa dengan konflik berkaitan
tarikh aksi separuh akhir pertama yang sebelum ini agak menimbulkan
kontroversi.
"Bagi Pafa sendiri, kita
harap soal tarikh ini tidak dipanjangkan lagi dan paling utama kita nak
kejayaan dapat dihasilkan dengan bantuan sokongan daripada para peminat,"
katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Pada 3 Oktober lepas,
Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) memuktamadkan 15 Okt ini sebagai tarikh bagi
aksi separuh akhir pertama membabitkan kedua-dua pasukan itu.
Perkara itu dibuat selepas
mengambil kira semua faktor termasuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 membabitkan
skuad kebangsaan di Hong Kong pada 10 Okt ini.
Selain itu, Ahmad Shahrul yang
juga pengurus pasukan merayu kepada para penyokong Perak supaya tidak melakukan
sebarang provokasi liar hingga menyebabkan tindakan luar jangkauan berlaku.
"Kita harap penyokong yang
datang bagi sokongan atas kapasiti semangat kesukanan. Kita tak mahu
benda-benda negatif jadi sehingga menyebabkan pelbagai pihak terpaksa masuk
campur untuk tanganinya," katanya.
Mengulas mengenai persiapan
pasukan Perak, Ahmad Shahrul berkata, para pemain berada pada prestasi terbaik
selain fokus untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.
Katanya, beliau berharap
suasana positif itu terus ditingkatkan bagi menyerap segala tekanan dan
tentangan yang akan diberikan JDT dalam perlawanan itu seterusnya melakar
kejayaan.- Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7
Oktober 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan