Jumaat, 8 September 2017

Shahrul ‘makin tua makin menjadi’



ARKIB : 23/10/2006

Oleh KAMARUDDIN ISMAIL

IPOH – Ketua Pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar, 32, umpama ‘kelapa yang semakin tua, semakin banyak santannya’ membuatkan tenaganya masih diperlukan dalam Liga Super yang bermula 16 Disember depan.

Shahrul yang menjadi perancang utama di bahagian tengah Seladang merupakan di antara 18 pemain yang terpilih untuk membawa cabaran Perak kelak.

Ketua Pasukan itu pernah melalui detik-detik pahit apabila digantung selama empat bulan apabila berlaku pergeseran dengan pemain Majlis Perbandaran Petaling Jaya ( MPPJ ), Rachid Zamama dan pengadil permainan pada 31 Disember 2005 lalu.

Ketiadaan Shahrul memeningkan jurulatih, Steve Darby bagi melakukan percaturan di bahagian tengah yang mana pemain import dari Burkina Faso, Traore Abdoulaye dipilih mengisi kekosongan tersebut.

Namun begitu, Darby masih tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Abdoulaye bersama-sama Wong Sai Kong dan Danial Fadzly semasa mengungguli bahagian tengah itu.

Kehadiran semula bekas pemain MPPJ, Yusri Che Lah yang juga pakar di bahagian tengah digandingkan dengan Shahrul akan membuatkan bahagian tengah Seladang lebih berbisa bagi musim 2006/2007 akan datang.

Yusri dan Shahrul pernah digandingkan bersama-sama di bahagian tengah sebelum perpindahan Yusri ke Perlis pada tahun 2003 yang lalu.

Pemilihan Shahrul bagi musim 2006 / 2007 telah menjadikannya sebagai pemain yang paling lama menyarung jersi Perak.

Ketua Pasukan itu mula beraksi dengan skuad Seladang pada tahun 1994 dan berpindah untuk beraksi bersama-sama Negeri Sembilan pada tahun 1998.

Namun begitu, beliau kembali semula menyarung jersi Seladang pada tahun 2000 lalu di bawah bimbingan Tony Netto.

Ketua Pasukan Perak tersebut pernah beraksi bersama-sama pasukan kebangsaan antara tahun 1997 hingga 2002.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Perak ( PFA ), Datuk Muhammad Mahiyuddin Abdullah berkata Shahrul masih mampu membantu Perak walaupun umurnya semakin meningkat.

‘‘ Saya berharap Shahrul akan menjadi ‘ mentor ' kepada pemain-pemain muda kerana pengalamannya yang begitu luas,” jelas

Perak telah menyenaraikan semula penjaga gol muda Md. Nasril Nourdin dan penjaga gol berpengalaman, Mohd Hamsani Ahmad bagi mengawal gawang Seladang kelak.

Pertahanan import, Vedran Kukoc akan dibantu oleh dua bekas pertahanan MPPJ, K. Nantha Kumar, Chan Wing Hoong, serta S. Subramaniam, Mohd Khairi Zainuddin, Ahmad Azlan Zainal, K. Yoganathan dan G. Saravanakumar akan memantapkan benteng pertahanan.

Selain gandingan Shahrul dan Yusri, bahagian tengah turut disertai oleh Wong Sai Kong, M. Ravinthiran, Danial Fadzly, Shahrul Nizam Mustafa dan Traore Abdoulaye.

Pemenang Kasut Emas, Keita Mandjou sudah pasti akan digandingkan dengan bekas pemain Selangor, Mohd Khalid Jamlus serta Harizul Izuan Abd Rani, K. Yoganathan dan R. Surendren di barisan serangan kelak

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1023&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4s5RkekrJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan