PEMAIN tengah Perak, Ahmad Shahrul Azhar masih bermain
teka-teki sama ada ingin terus menyarung jersi skuad Seladang atau beraksi
dengan pasukan lain dalam Liga Perdana musim akan datang.
KAMARUDDIN ISMAIL melaporkan, kontrak Shahrul telah berakhir
pada Disember lalu, tetapi beliau masih belum menandatangani kontrak baru
dengan skuad Seladang itu.
Pengurus pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar
meminta pemain tengah itu datang dengan segera untuk menandatangani kontrak
baru.
Raja Ahmad tidak tahu mengapa Shahrul masih belum
muncul untuk mengesahkan kedudukannya sebagai pemain Perak musim akan datang.
Sukan Utusan difahamkan Shahrul cuba meminta kenaikan gaji
yang lebih tinggi daripada pihak pengurusan Perak menyebabkan pemain tengah itu
masih belum menurunkan tandatangannya.
Shahrul juga dikatakan menerima tawaran yang lebih
baik daripada beberapa pasukan termasuk Kuala Lumpur dan sekali gus pemain
tersebut terpaksa membuat pertimbangan yang mendalam.
''Saya berharap Shahrul tidak mungkir janji kerana
beliau sudah berjanji akan terus kekal di sini,'' kata Raja Ahmad.
Sebelum ini, perpindahan Chee Wan Hoe ke Pulau Pinang
dan Syamsol Saad ke Terengganu dikaitkan dengan rasa tidak puas hati kedua-dua
pemain itu terhadap jumlah gaji yang mereka terima.
Raja Ahmad berkata, Wan Hoe tidak bersedia gajinya
dikurangkan walaupun pemain pertahanan itu lebih banyak memanaskan bangku
simpanan sahaja.
Wan Hoe menerima gaji hampir RM9,000 itu merupakan
pemain tempatan yang paling mahal musim lalu.
Namun begitu, gajinya dikurangkan hampir 50 peratus
tahun ini menyebabkan beliau mengambil keputusan berpindah ke Pulau Pinang.
'' Gaji pemain-pemain Perak tahun ini adalah
berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang musim lalu,''
ujarnya.
'' Saya tidak boleh meletakkan bayaran gaji yang
terlalu tinggi ke atas pemain-pemain yang hanya memberi sedikit sumbangan musim
lalu,'' kata Raja Ahmad.
Syamsol juga tidak berpuas hati dengan tawaran gaji
barunya menyebabkan pertahanan itu beralih angin ke pantai timur yang
menawarkan gaji lumayan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan