ARKIB : 17/10/2000
TIADA apa yang dapat dikatakan
terhadap nasib malang yang menimpa skuad Negeri Sembilan, selain terus
mengharap 'bulan jatuh ke riba' agar derita berpanjangan untuk membawa pulang
piala itu terus menjadi kenyataan.
Terlalu banyak kesilapan yang
dilakukan oleh skuad si Rusa ini, sehinggakan jurulatih, Mohd. Zaki Sheikh
Ahmad menggelengkan kepala apabila soalan itu diajukan oleh pemberita.
Hanya yang terjawab olehnya,
''mereka bermain dengan gugup, gementar dan banyak melakukan kesilapan yang
tidak sepatutnya.'' Jika inilah yang dijelaskan oleh Zaki, maka peminat skuad
'Hobin Jang Hobin' harus menerima kekalahan pasukan ini sebagai kenyataan
pahit.
Memang benar, Negeri Sembilan
gagal menunjukkan taring sepanjang babak pertama, sebaliknya mengamalkan sikap
bertahan dan menunggu bola, sehingga beberapa kali terperangkap dengan taktik
yang serba tidak menjadi itu.
Peluang inilah yang digunakan
oleh pasukan Perak untuk mencipta jaringan gol menerusi Muhammad Khalid Jamlus
pada minit ke-52 dan V.Saravanan di minit ke-80.
Negeri Sembilan ternyata
terpukau dengan gerakan pantas Perak dan kata Zaki, ''Perak menggunakan taktik
deras dan gerakan itu, kadangkala mengelirukan pemain Negeri Sembilan. Barisan
tengah kita longgar dan jaringan gol yang pertama itu sepatutnya tidak berlaku,
jika pertahanan bersefahaman.''
Tetapi apakan daya, nasi sudah
menjadi bubur dan tambah Zaki, ''kita akan belajar dari kesilapan.''
Namun pujian harus juga
diberikan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Hamsani yang kerap kali
menyelamatkan gawang dari terus dibolosi akibat kesilapan yang dilakukan oleh
pemain tengah dan pertahanan.
Walaupun begitu, serangan
bertubi-tubi pada babak kedua tidak mampu ditahan oleh Mohd. Hamsani, di mana
akhirnya meleraikan ketegangan skuad Perak dalam mencuri jaringan gol.
Perak pula yang dibimbing oleh
jurulatih cukup berpengalaman, Karl Heinz Weigang tetap mampu mengawal suasana
tegang di babak pertama, biarpun permainan hambar Negeri Sembilan, tidak
merancakkan barisan serangan kedua-dua pasukan.
Perak yang beraksi dengan skil
telah menggunakan sepenuh tenaga barisan penyerang, Khalid, Saravanan dan Azrul
Amri Burhan untuk mengatur strategi serang balas walaupun beberapa kali
terperangkap dengan off side yang dibuat oleh pertahanan Rusa.
Maka tidak salah tafsiran
Weigang apabila menjelaskan, ''memang Perak layak menang. Kita telah bermain
dengan bersungguh-sungguh dan inilah hasilnya.''
Apa pun percaturan Perak pada
perlawanan akhir kelmarin memang menjadi dan segala arahan dalam padang oleh
ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar kepada anak buah telah merobek hati
kira-kira 25,000 penyokong Negeri Sembilan di stadium berkenaan.
''Kami telah lakukan yang
terbaik dan kemenangan ini adalah untuk penyokong setia Perak. Terima kasih
semua,'' kata Shahrul.
Shahrul yang dianugerahkan
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir kelmarin memang layak dinobatkan status itu.
Kemampuan pemain lincah ini
yang dianggap mastermind perlawanan akhir, ternyata mengunci pergerakan lawan,
khususnya Azman Adnan dan Efendi Malek.
Biar apa pun yang berlaku dalam
padang di Stadium Shah Alam ia akan menjadi kenangan buat penyokong kedua-dua
pasukan kerana perlawanan yang menarik dan semangat Fair play yang ditunjukkan
pemain.
Senario ini pasti akan tersemat
sebagai perlawanan unggul di abad ke-21 ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b5TqLHNn
© Utusan Melayu (M) Bhd