Rabu, 29 November 2017

Pemain tempatan setuju arahan FAM

ARKIB : 04/08/2008
KUALA LUMPUR - Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan arahan terbaru supaya setiap pasukan dan kelab tidak dibenarkan mengambil pemain import, rata-rata pemain tempatan amat menyokong penuh keputusan tersebut, lapor FERZALFIE FAUZI.

Menurut pemain pertahan Perak, Ahmad Azlan Zainal, larangan tersebut memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menunjukkan bakat mereka, di samping memberi peluang untuk pemain muda menonjol.

''Walaupun ketiadaan pemain import akan memberi impak kurang meriah dalam liga tempatan tetapi kita sendiri kena akur ada di antara mereka yang betul-betul berkualiti dan sebaliknya,'' kata Azlan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu seorang lagi pemain Perak dan bekas ketua pasukan negara, Ahmad Sharul Azhar Sofian berkata, keputusan yang digariskan oleh FAM itu ada pro dan kontranya.

''Bagi saya dari segi kebaikan ia dapat memberi peluang kepada pemain tempatan untuk menonjol, tetapi dari satu sudut lain pula ia tidak memberi peluang untuk pemain tempatan belajar dari pemain import yang mempunyai pengalaman luas.

''Kita perlu menilai semula kewujudan sebenar pemain import dan melihat ia dibenarkan bertujuan untuk apa? Kalau dari segi kualiti yang disebabkan ia disekat, saya rasa kita kena menilai semula, mungkin pasukan yang mempunyai masalah kewangan yang mengambil pemain kurang berkualiti,'' kata Ahmad Shahrul.

Bagi penyerang Selangor Akmal Rizal Ahmad Rakhli, keputusan tersebut memberikan kelegaan kepadanya yang bermain di posisi penyerang.

''Sebagai seorang pemain penyerang saya amat menyokong penuh keputusan tersebut, ia akan kembali memberi pengiktirafan kepada penyerang tempatan sekali gus memajukan pasukan kebangsaan.

''Setidak-tidaknya ia memberi peluang kepada penyerang tempatan terbaik kembali menyerlah dan penonton yang datang ke stadium bukan hendak menonton pemain tempatan tetapi menyokong pasukan mereka jika sentiasa mencatat kemenangan,'' kata Akmal.

Pemain yang berasal dari Kedah yang sekarang ini bermain untuk pasukan UPB-MyTeam, Bunyamin Umar berkata, keputusan itu amat baik sekali kerana memberi peluang kepada pemain muda berbakat yang semakin bertambah sekarang ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4zrZwsSwu

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 18 November 2017

Kesungguhan pemain bantu Seladang



ARKIB : 04/04/2008

IPOH - Kesungguhan para pemain bertarung sehingga ke saat- saat akhir membolehkan Perak bernafas kembali dalam persaingan kumpulan E, Piala AFC musim ini.

Skuad Seladang kembali mencerahkan peluangnya ke pusingan kedua kalah mati piala tersebut setelah menumpaskan kelab Kitchee FC dari Hong Kong 2-1 pada saat- saat akhir.

Pertahanan import dari Chile, Mario Barrios meledakkan gol kemenangan pada masa kecederaan membuatkan beberapa pemain Kitchee terbaring kekecewaan.

Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan seri 1 - 1.

Pasukan tuan rumah telah mendahului lawannya itu melalui rembatan cantik yang dilakukan oleh pemain tengah, Mohd. Hardi Jaafar pada minit ke-11.

Penyerang import dari Macedonia, Goran Stankovski menyamakan kedudukan melalui tolakan mudah pada minit ke-73.

Kemenangan itu meletakkan Perak pada tangga kedua kumpulan E dengan mengumpul enam mata setelah beraksi tiga perlawanan.

Ketua Pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar bersyukur skuad Seladang dapat mengutip mata penuh walaupun memberi tekanan yang hebat daripada pihak lawan.

"Kami telah berusaha berhabisan bagi mempertahankan pintu gol sendiri dan mencari gol kemenangan," jelas Shahrul.

Penjaga gol Perak, Mohd. Hamsani Ahmad bersama-sama Barrios, Chan Wing Hoong dan K. Nanthakumar wajar menerima pujian kerana telah bekerja keras bagi menangkis asakan bertali arus penyerang lawan.

Kemenangan ke atas Kitchee FC secara tidak langsung mengubat sedikit kelukaan Perak yang dibelasah oleh Angkatan Tentera Singapura (ATS) 1-6 di Ipoh pada 18 Mac lalu.

Namun begitu, Perak perlu melalui laluan berliku untuk ke pusingan kedua kerana terpaksa berdepan dengan Kitchee FC di Hong Kong pada 16 April ini.

Selepas itu, Perak juga akan menanti kedatangan kelab New Radiant dari Maldives pada 30 April dan bertandang ke Singapura untuk menentang ATS pada 14 Mei akan datang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4yrKgfFXx
© Utusan Melayu (M) Bhd