Ahad, 15 Oktober 2017

Kenari terbang tinggi

ARKIB : 09/09/2007
 
PEMAIN-pemain Kedah meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala Malaysia manakala ketua pasukan mereka, Victor Andrag (gambar kecil) menerima trofi daripada Sultan Kedah selepas menewaskan Perak 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

KEDAH.....3
Mohd. Khyril Muhymeen (24)
Marlon Alex James (26, 81)
PERAK......0

Oleh: AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR – Tangisan kegembiraan mengiringi kejayaan Kedah merampas kembali kejuaraan bola sepak Piala Malaysia apabila dinobatkan selaku juara edisi ke-81 menewaskan Perak 3-0 dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan disaksikan hampir 81,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiada ungkapan yang mampu diluahkan melihat keunggulan Kedah meraih kejayaan ketiga musim ini sesudah bergelar juara Liga Super dan Piala FA, kini kemarau 14 tahun ditamatkan

Kali terakhir Kedah merangkul piala berprestij ini pada 1993 tertunai juga di hadapan puluhan ribu penyokong setia hijau kuning.

Kehadiran Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah melihat pemain didikan jurulatih Azraai Khor Abdullah mempamerkan aksi paling mantap untuk mengekang Perak daripada bergelar juara.

Dua gol selang dua minit menerusi pemain lincah kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen di minit 24 dan rembatan cantik Marlon Alex James pada minit ke-26 dan 81 menjadi pemusnah meranapkan impian menggunung Perak mahu menamatkan penantian tujuh tahun apabila kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2000. Sejurus pengadil, Ravichandran meniupkan wisel penamat, pemain berpelukan sesama sendiri sambil rakan mereka dibangku simpanan menyerbu masuk ke padang sambil diiringi pekik sorak penyokong Hijau Kuning.

Manakala buat Perak, perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2006-07 bakal menjadi sejarah hitam, tempang ketiadaan dua penyerang, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou akibat kecederaan dikeluarkan pada pertengahan babak pertama, mereka longlai apabila beraksi dengan 10 pemain selepas ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar di perintah keluar padang pada minit ke-44.

Suasana stadium makin menjadi kecoh apabila sebahagian penyokong Perak yang kecewa dengan kekalahan pasukan mereka membaling mercun, botol mineral, sampah sarap dan pelbagai barangan lain ke arah penonton yang berada di bawah sejurus Marlon menjaringkan gol ketiga Kedah.

Kebuntuan jaringan gol akhirnya memihak kepada Kedah menerusi larian solo pemain kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen mengelecek pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Mohd. Nasril Nourdin pada minit ke-24.

Gol tersebut terus menggamatkan stadium dengan pekik sorak penyokong Kedah yang memakai jersi hijau kuning.

Belum pun reda jaringan awal Kedah itu, benteng pertahanan Perak tergamam lagi dua minit selepas itu dengan giliran Marlon Alex James yang menerima hantaran Hasmawi Hassan sambil memusingkan badan terus merembat kencang mengatasi Mohd. Nasril buat kali kedua.

Dua gol tersebut terus merentap semangat juang Perak yang beraksi dalam keadaan kelam kabut terutama di benteng pertahanan menyaksikan serangan bertali arus.

Jurulatih Perak, Steve Darby membuat keputusan mengejutkan apabila mengeluarkan dua penyerang utama, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou pada pertengahan babak pertama berlangsung.

Malang bertimpa buat skuad Seladang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar diperintah keluar padang apabila pengadil, C. Ravichandran melayangkan kad kuning kedua selepas dia mengkasari Sam Nelson Martin seminit sebelum rehat.

Marlon melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad hijau kuning apabila meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-81.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4vZKWh1JY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 13 Oktober 2017

Perlis terlepas Piala Malaysia


ARKIB : 16/08/2007
KUALA LUMPUR – Perlis gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang mereka menangi musim lalu apabila dibelasah Perak 5-1 pada perlawanan suku akhir kedua di Stadium Perak, semalam.

Keputusan itu menyaksikan Perlis tersingkir dengan kekalahan agregat 3-5 walaupun menang 2-0 di tempat sendiri minggu lalu.

Perak ternyata berpesta gol untuk ke separuh akhir menerusi jaringan Ahmad Shahrul Azhar (m-21), Khalid Jamlus (m-52), K. Nanthakumar (pen-59), Daniel Fadzli Abdullah (m-68) dan Keita Mandjou (m-79).

Manakala gol tunggal Perlis dijaringkan Manzoor Azwira pada masa kecederaan.

Selangor turut gagal ke separuh akhir selepas tewas tipis 0-1 kepada Terengganu dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol kemenangan tuan rumah dijaringkan Zairul Anuar Zailani seawal minit ke-2 untuk membolehkan Terengganu menang menerusi kemenangan agregat 3-2.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Kedah pula membelasah teruk Melaka dengan kemenangan agregat 10-1 selepas menang 4-0 dalam perlawanan suku akhir kedua, semalam.

Walaupun selesa bertandang ke Stadium Hang Jebat berbekalkan kemenangan 6-1 di tempat sendiri minggu lalu, Kedah ternyata turun tanpa belas kasihan.

Naib juara tahun lalu, Negeri Sembilan pula gagal mempertahankan kelebihan satu gol minggu lalu apabila tumpas 1-3 kepada Sabah pada suku akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah ternyata menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri untuk bangkit dengan tiga gol untuk menang agregat 3-2.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4vOOqJn9R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 11 Oktober 2017

Tiket bola Perak lwn JDT dijual di sembilan daerah



 Tiket
Tiket   
SETIAUSAHA Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Ahmad Shahrul Azhar Sofian menunjukkan tiket yang akan dijual untuk perlawanan separuh akhir TM Piala Malaysia 2017 di antara Perak dan JDT pada sidang akhbar di Pejabat Pafa di sini hari ini.- UTUSAN/Kamal Basir Wahab

KHAIRUL ABIDIN NUAR

11 Oktober 2017 8:37 PM

IPOH 11 Okt. - Menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT)  Ahad ini, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengambil inisiatif turun padang ke sembilan daerah di negeri ini bagi mempromosi jualan tiket bermula esok.

Setiausaha Kehormat Pafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata, penjualan tiket di daerah-daerah kecuali Ipoh, Batu Gajah dan Kampar bagaimanapun hanya terhad kepada 1,000 tiket dewasa dan 100 tiket kanak-kanak.

Beliau berkata, tiket-tiket tersebut juga akan dijual hanya untuk pembelian individu dan terhad kepada lima tiket seorang.

"Penjualan tiket akan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 5 petang esok dan kita menjangkakan akan menjual sehingga maksimum 28,000 tiket.

"Penjualan secara dalam talian sudah habis terjual sebanyak 2,000 tiket. Bagaimanapun, kita akan terus menjualnya sehingga menjelang hari perlawanan. Sekiranya tiket-tiket jualan turut habis di daerah-daerah, peminat masih boleh mendapatkannya di Stadium Perak," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jualan tiket di daerah-daerah akan bermula esok di Slim River (Stadium Mini Slim River), Manjung (Stadium Padang Astaka Sitiawan), Teluk Intan (Stadium Mini Teluk Intan), Kerian (Stadium Mini Bagan Serai) dan Kuala Kangsar (Dewan Jubli Perak).

Pada hari Jumaat, orang ramai  boleh mendapatkan tiket di daerah Tapah (Stadium Mini Tun Ahmad Sarji), Perak Tengah (Stadium Mini Parit), Taiping (Pejabat Daerah Dan Tanah Larut), Gerik (Stadium Mini Gerik) dan Bagan Datuk (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datuk). - UTUSAN ONLINE

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/tiket-bola-perak-lwn-jdt-dijual-di-sembilan-daerah-1.536646#ixzz4vDjsv5BU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 10 Oktober 2017

Misi Ahmad Shahrul Azhar

Pafa harap ribuan penonton banjiri Stadium Perak
7 Oktober 2017
Ahmad Shahrul Azhar
PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) meminta puluhan ribu penyokong membanjiri Stadium Perak di sini 15 Okt nanti bagi menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Setiausaha Kehormat Pafa, Ahmad Shahrul Azhar Sofian berkata meskipun ada kalangan penyokong kecewa kerana tarikh perlawanan dilewatkan sehari daripada tarikh asal, namun ia bukan kekangan untuk mereka terus memberikan sokongan kepada skuad The Bos Gaurus.

"Saya percaya penyokong Perak sudah semakin matang dan tidak akan terbawa-bawa dengan konflik berkaitan tarikh aksi separuh akhir pertama yang sebelum ini agak menimbulkan kontroversi.

"Bagi Pafa sendiri, kita harap soal tarikh ini tidak dipanjangkan lagi dan paling utama kita nak kejayaan dapat dihasilkan dengan bantuan sokongan daripada para peminat," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Pada 3 Oktober lepas, Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP)  memuktamadkan 15 Okt ini sebagai tarikh bagi aksi separuh akhir pertama membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Perkara itu dibuat selepas mengambil kira semua faktor termasuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 membabitkan skuad kebangsaan di Hong Kong pada 10 Okt ini.

Selain itu, Ahmad Shahrul yang juga pengurus pasukan merayu kepada para penyokong Perak supaya tidak melakukan sebarang provokasi liar hingga menyebabkan tindakan luar jangkauan berlaku.

"Kita harap penyokong yang datang bagi sokongan atas kapasiti semangat kesukanan. Kita tak mahu benda-benda negatif jadi sehingga menyebabkan pelbagai pihak terpaksa masuk campur untuk tanganinya," katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan Perak, Ahmad Shahrul berkata, para pemain berada pada prestasi terbaik selain fokus untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Katanya, beliau berharap suasana positif itu terus ditingkatkan bagi menyerap segala tekanan dan tentangan yang akan diberikan JDT dalam perlawanan itu seterusnya melakar kejayaan.- Bernama
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 7 Oktober 2017