Sabtu, 8 April 2017

Shahrul minta pemain lebih telus



 ARKIB : 03/01/2004
KETUA pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar mengingatkan anak-anak buahnya supaya bermain dengan ikhlas dan memberikan sumbangan yang bermakna kepada kemajuan pasukan itu di masa-masa akan datang, lapor MOHD. ROMZI SAMSUDIN.

Katanya, para pemain yang telah menandatangani kontrak dengan skuad Seladang bagi menghadapi persaingan Liga Super musim depan, wajar menunjukkan komitmen mereka terhadap pasukan dengan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bagi.

``Para pemain mesti taat setia kepada pasukan bola sepak negeri dan persatuan supaya dapat memberikan sumbangan yang bermakna setimpal dengan apa yang mereka dapat,'' katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia di majlis Kejohanan Bolasepak 7 Sebelah (Terbuka) anjuran UMNO Cawangan Sungai Siput (U) di Kampung Bahagia di Sungai Siput, semalam.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Datuk Chang Ko Youn dan Timbalan Ketua UMNO cawangan berkenaan, Suhaimi Saidin merangkap Ketua Pegawai Operasi UPD Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan.

Shahrul mengulas kenyataan pengurus pasukan, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang menuntut semua pemain memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan agar Skuad Seladang mampu mencatat kecemerlangan dalam persaingan Liga Super musim depan.

Menurut Shahrul, apa yang diutarakan oleh Jamal Nasir itu adalah tepat kerana pemain sepatutnya setia pada pasukan dan seterusnya bermain bersungguh-sungguh selaras dengan apa yang diberikan oleh persatuan kepada mereka.

Katanya, walaupun kebajikan pemain adalah tugas persatuan, namun pemain bertanggungjawab bermain dengan sepatutnya dan bekerja keras menaikkan nama Perak dalam arena bola sepak tanah air.

``Pemain mesti komited terhadap perjanjian kerana dari situlah datangnya kesinambungan antara pemain, majikan dan penyokong yang bakal menyumbang kepada kejayaan pasukan Perak,'' tegasnya lagi.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4dj7vXNF5© Utusan Melayu (M) Bh