ARKIB : 18/03/2006
Ads by Kiosked
AHMAD Shahrul Azhar Sofian sempat
tersenyum kepada wartawan dan jurugambar yang menunggu keputusan kesnya di
Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
PETALING JAYA - Ketua pasukan
Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian digantung empat bulan dan denda RM2,000 atas
tuduhan pindaan kerana bertindak di luar jangkaan ketika perlawanan Liga Super
menentang MPPJ, 31 Disember lalu.
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam, membuat keputusan itu
selepas tiga kali membincangkan kes tersebut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Tatatertib FAM, Datuk Abdul Hamid Mustafa bagaimanapun menafikan keputusan
tersebut dibuat kerana tunduk dengan desakan penyokong Perak tetapi dibuat
berdasarkan fakta semata-mata.
``Ahmad Shahrul sendiri hadir
pada hari ini (semalam) dan mengaku salah atas tuduhan pindaan tersebut.
``Oleh itu Jawatankuasa
Tatatertib mendapati beliau bersalah di bawah Perkara 4 Para 5 Peraturan FAM,''
katanya.
Perkara 4 Para 5 menyebut:
Pemain-pemain yang semasa bermain dalam mana-mana perlawanan setelah diperintah
keluar padang kerana melanggar undang-undang bola sepak dan kemudiannya
melakukan kesalahan lagi semasa diperintah keluar semasa atau selepas
perlawanan, ia akan dihukum seperti perlawanan berlainan.
Sehubungan itu, kata Abdul Hamid,
di bawah Sekyen 18 Peraturan FAM, Jawatankuasa Tatatertib diberi kuasa
menetapkan hukuman ke atas Ahmad Shahrul.
Sebelum ini pada perbicaraan
pertama kes tersebut pada 6 Januari lalu, Ahmad Shahrul dikenakan hukuman di
bawah Peraturan 7(a).
Mengikut peraturan 7(a), pemain
yang diperintah keluar padang dan menerima kad merah oleh pengadil kerana
berkelakuan ganas terhadap pengawai perlawanan secara automatik dihukum
penggantungan 12 bulan dan denda RM3,000.
Bagaimanapun pada 7 Februari
lalu, Jawatankuasa Rayuan FAM mendapati Shahrul tersilap dikenakan tuduhan oleh
Jawatankuasa Tatatertib berhubung perlawanan menentang MPPJ di Stadium Perak,
Ipoh.
Menurut Jawatankuasa Rayuan,
rakaman video menunjukkan Ahmad Shahrul tidak berlaku ganas terhadap pengadil
dan hanya menyentuh dadanya sekali gus tidak adil untuk menggantung dan
mendendanya.
Berikutan itu, tuduhan ke atasnya
dipinda di bawah Peraturan 6(a). Selepas tiada keputusan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa
Tatatertib pada 9 Mac lalu, semalam segala-galanya telah terjawab.
Ahmad Shahrul sebelum ini telah
pun dikenakan hukuman gantung tiga perlawanan dan denda RM1,000 oleh
Jawatankuasa Rayuan kerana menyiku pemain MPPJ, Rachid Zmama dalam perlawanan
yang sama.
Keputusan semalam adalah hukuman
kedua dikenakan ke atasnya yang berkuatkuasa mulai 6 Januari lalu.
Ini bermakna Ahmad Shahrul hanya
boleh beraksi semula dalam saingan Liga Super selepas 5 Mei ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4koTvXNBC
© Utusan Melayu (M) Bhd