Selasa, 14 Mei 2019

MALAYSIA 0-6 MANCESTER UNITED

Julai 23, 2001 - Name Of Event: The Star Challenge Cup
Malaysia Star          0-6     Manchester United
Ruud van Nistelrooy (7',35'), Andy Cole (46',77'), David Beckham (29'), Luke Chadwick (70') Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur (Att: 80,000)
Malaysia
Penjaga Gol: Kamarulzaman Hassan, Azmin Azram Aziz dan Mohd. Syamsuri Mustafa

Pertahanan: S. Jayaprakash, Rezuan Radzy, Mazuki Yusof, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajini, Mohd. Nizam Jamil dan Abd. Aziz Ismail

Tengah: Subri Sulong, Ahmad Shahrul Azhar, K. Rajan, Chow Chee Weng, Mohd. Shawal Johadi, Mohd. Syaiful Sabtu, Mohd. Shukor Adan, Juzaili Samion, Indra Putra Mahayuddin dan D. Surendran

Penyerang: Hairuddin Omar, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Nizaruddin Yusof, Rudie Ramli, Fadzli Shaari dan Mohd. Fareed Shah

Manchester United
Penjaga Gol: Fabien Barthez dan Raimond van ger Gouw
Pertahanan: Jaap Stam, Gary Neville, Phil Neville, Ronny Johnsen, Wes Brown dan Denis Irwin
Tengah: Roy Keane, Paul Scholes, David Beckham, Nicky Butt, Ryan Giggs, Juan Sebastian Veron dan Quinton Fortune
Penyerang: Ruud van Nistelrooy, Andy Cole, Dwight Yorke, Ole Gunnar Solksjaer dan Luke Chadwick[1]



[]https://malaysiafootball-dimos.blogspot.com

Sabtu, 11 Mei 2019

MALAYSIA 3-0 CHINESE TAIPEI


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
25 Mac 2000 Malaysia 3-0 Chinese Taipei (Stadium Shah Alam)
Malaysia 3-0 Chinise Taipei
m-34 Mohammed Noor Derus
m-82, 86 Rusdi Suparman

PEMAIN MALAYSIA
22 Mohamed Sany Fahmy
02 Abdul Ghani Malik
03 Syamsul Amri Abu Bakar
04 B. Rajinikandh
05 Bakhtiar Othman
07 Ahmad Shahrul Azahar
08 Anuar Jusoh
09 Mohamed Noor Derus
10 Mohamed Nizaruddin Yusof
13 Zami Mohamed Noor
14 Hairul Nizam Hanif
PEMAIN GANTIAN
19 Rosdi Talib
06 Idris Karim
16 Rusdi Supaman.[i]


[i]https://malaysiafootball-dimos.blogspot.com/search/label/National%20Team

Jumaat, 10 Mei 2019

Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi

ARKIB : 09/07/2004
Skuad bimbingan terakhir Harris - Khalid, Shahrul diketepi
PEMAIN kebangsaan, Indera Putra Mahyuddin menjalani latihan bersama dengan rakan sepasukan yang lain sebagai persiapan menjelang dua perlawanan persahabatan menentang Singapura dan kelab Liga Perdana England, Norwich City, 12 dan 17 Julai ini. - Gambar Nazudeen Mahmud.


PASUKAN bola sepak kebangsaan terpaksa melupakan khidmat penyerang, Khalid Jamlus dan pemain pertahanan, Shahrul Nizam Sahat untuk dua aksi persahabatan dengan Singapura dan Norwich City yang berlangsung minggu depan.
Jurulatih negara, Allan Harris berkata, penyerang Perak, Khalid dan bek Pahang, Shahrul Nizam mengalami kecederaan ketika latihan dan terpaksa digugurkan.
Bagaimanapun, jurulatih dari England itu tidak bimbang dengan ketiadaan dua tonggak itu kerana masih ada pemain yang mampu mengisi tempat mereka.
Selain Khalid, skuad negara memiliki barisan penyerang yang sama wibawa termasuk penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli, Mohd. Nizaruddin Yusof (MPPJ), Hairuddin Omar (Pahang) dan V. Saravanan (Perak).
``Saya tidak akan memanggil pemain baru kerana saya fikir barisan pemain yang ada sudah mencukupi,'' katanya ketika ditemui selepas latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Pertemuan dengan Singapura pada 12 Julai ini dan pasukan baru Liga Perdana England, Norwich City pada 17 Julai merupakan tugasan terakhir Harris membimbing skuad kebangsaan sebelum melepaskan jawatannya kepada jurulatih baru dari Hungary, Bertalan Bicskei.
Bicskei dijangka akan membentuk pasukan baru dengan memasukkan beberapa muka baru dalam skuad kendaliannya nanti.
Harris mungkin tidak meletakkan sebarang sasaran kepada skuad kebangsaan dalam dua aksi persahabatan itu tetapi tugasnya itu tentulah menyediakan pasukan yang lebih baik dan mantap sebelum `diserahkan' kepada Bicskei.
``Sudah tentu pertemuan dengan Norwich City lebih sukar kerana mereka baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana.
``Pertemuan dengan Singapura pula lebih sekadar memelihara maruah kerana saya tahu Malaysia dan Singapura adalah musuh lama di rantau Asia Tenggara.
``Jadi saya akan melakukan yang terbaik sebelum meninggalkan pasukan ini,'' kata Harris.
Kontrak Harris dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadual tamat Oktober ini.
Bicskei dijangka mula melatih pasukan kebangsaan sebaik tamat perlawanan skuad negara dengan Norwich City.
Beliau akan mengendali pasukan yang akan mengharungi saki baki perlawanan kelayakan Piala Dunia, Piala LG di Vietnam Ogos ini dan Piala Tiger 2004

Orang lama dalam skuad senior

ARKIB : 13/01/2004
Oleh Johari Shawal

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat sedikit `kejutan' dalam menamakan barisan pelatih skuad senior kebangsaan dengan memilih beberapa bekas pemain negara untuk membentuk pasukan yang bakal mengharungi kelayakan Piala Dunia, Mac ini.

Antara pemain itu ialah penyerang berpengalaman Pahang, Azizul Kamaluddin, K. Sanbagamaran, Idris Karim, bekas ketua pasukan kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, B. Rajinikandh dan Khairul Anuar Baharom.

Penasihat Teknikal FAM, Karl Heinz-Weigang berkata, seramai 36 pemain telah disenaraikan untuk latihan dan semua nama pemain yang berada dalam senarai itu adalah pilihan para jurulatih Liga Malaysia.

``Kami sengaja menamakan barisan ini kerana mereka adalah pilihan jurulatih dan yang terbaik dalam pasukan masing-masing.

``Semua pemain akan melaporkan diri di Wisma FAM untuk dihimpunkan selama tiga hari (16 hingga 18 Januari) dan menerusinya kita akan mengenal pasti pemain mana yang boleh diserapkan dalam pasukan sebenar,'' kata Weigang pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Weigang berkata, mereka terpaksa memilih pemain atas cadangan jurulatih dari pasukan ke-lab masing-masing kerana masa untuk mengumpulkan pemain amat terhad.

``Kelayakan Piala Dunia akan berlangsung Mac ini dan kita hanya ada tiga bulan untuk membuat persiapan termasuk memilih pemain.

``Kita akan lihat perkembangan setiap daripada 36 pemain ini menerusi aksi-aksi Liga Malaysia yang bermula Februari depan,'' katanya.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan 4 pada kelayakan benua Asia yang terdiri daripada Kuwait, Hong Kong dan China yang beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2002.

Skuad senior ini akan dibimbing oleh jurulatih bawah 21 negara, K. Rajagopal.

Weigang berkata, daripada 36 pemain berkenaan, Rajagopal akan memilih 20 pemain untuk bertandang ke Jepun bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan negara itu pada 7 Februari.

Bekas penjaga gol utama skuad kebangsaan, Kamarulzaman Hassan, turut dipanggil untuk latihan selain Hairuddin Omar, Subri Sulong, Rosdi Talib, Nizaruddin Yusof, Eddy Helmy Manan, Syamsul Saad dan Yuszaiman Zahari.

Weigang berkata, pemilihan pemain-pemain berkenaan tidak akan mengganggu tumpuan skuad bawah 23 kendalian jurulatih England, Allan Harris yang dikhususkan untuk kelayakan Olimpik yang berlangsung pada masa yang hampir sama.

``Barisan ini cuma permulaan. Kita akan kenal pasti mereka yang benar-benar berpotensi untuk menyarung jersi kebangsaan selepas latihan kesesuaian dibuat,'' kata Weigang.

BARISAN PELATIH SENIOR

Penjaga gol: Azmin Azram Aziz, Jamsari Sabian, Hamsani Ahmad, Kamarulzaman Hassan.

Pertahanan: B. Rajinikandh, Khairul Anuar Baharom, Bahtiar Othman, Lim Chan Yew, Khaironnisam Sahabudin, Victor Andrag, Chee Wan Hoe, Syamsul Saad, Chan Wing Hong, Subri Sulong, Rosdi Talib, Wong Sai Kong, Faizal Zainal, Yuszaiman Zahari, M. Elangoo.

Tengah: K. Sanbagamaran, Idris Karim, Ahmad Shahrul Azhar, Tengku Hazman Raja Hassan, Chow Chee Weng, K. Nanthakumar, Gilbert Cassidy Gawing, Ramesh, Eddy Helmy Manan, Hardi Jaafar.

Penyerang: Azizul Kamaluddin, V. Saravanan, Khalid Jamlus, Liew Kit Kong, Hairuddin Omar, Sapian Abdul Wahid, Nizaruddin Yusof.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dkZ3B7QU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 7 Mei 2019

Harris tumpukan bahagian tengah

ARKIB : 10/12/2002
KETIADAAN pemain berpengalaman seperti Ahmad Shahrul Azhar memaksa jurulatih kebangsaan, Allan Harris memberi lebih tumpuan untuk memantapkan lagi bahagian tengah menjelang pusingan awal Piala Tiger di Singapura yang bermula 18 Disember ini.

Katanya, kehadiran beberapa pemain muda yang terpilih buat kali pertama beraksi dalam skuad kebangsaan juga memerlukan perhatian yang sewajarnya.

``Ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha membentuk barisan terbaik negara menghadapi pertandingan itu nanti.

``Bahagian tengah adalah posisi paling penting yang akan saya bentuk walaupun tiada pemain berpengalaman dan berpengaruh untuk mengemudinya ketika ini,'' jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan Indra Putra Mahayuddin mampu bertindak selaku penggerak utama di bahagian itu selain Tengku Hazman Raja Hassan, Juzaili Samion dan K. Nanthakumar.

Manakala Eddy Helmi Manan dan M. Fadzli Shaari merupakan muka baru yang terpilih menyertai skuad kebangsaan kali ini.

Harris memulakan latihan fasa akhir malam kelmarin selepas pemain-pemainnya kembali daripada cuti Hari Raya. Namun latihan hari kedua petang semalam, dia terpaksa memendekkan waktu latihan kerana hujan.

Sebelum ini, Ahmad Shahrul sering menjadi pilihan utama Harris sejak mengambil alih jawatan sebagai jurulatih negara.

Tetapi atas permintaan pemain itu sendiri, Harris terpaksa akur dengan menggugurkan Ahmad Shahrul bersama dengan penyerang Mohd. Khalid Jamlus.

Sehingga ini, Alan mengakui tugasnya kali ini lebih berat terutama dalam memenuhi matlamat mencipta pencapaian lebih baik berbanding tempat ketiga Piala Tiger yang berlangsung di Thailand, dua tahun lalu.

Pada pertandingan tahun 2000 itu, Malaysia menewaskan Vietnam 3-0 dalam penentuan tempat ke-3/4.

Terdahulu di peringkat separuh akhir, Malaysia tewas kepada tuan rumah, Thailand 2-0 manakala Indonesia menewaskan Vietnam 3-2 dalam perlawanan yang berlanjutan hingga ke masa tambahan.

Thailand yang memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri kemudiannya muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-1.

Malaysia sebelum ini pernah melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Tiger yang pertama pada 1996 tetapi tewas 0-1 kepada Thailand.

Kali ini, Malaysia diletakkan dalam satu kumpulan dengan juara bertahan, Thailand, Singapura dan Laos.

Malaysia akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Kemboja esok bagi menguji gandingan pemain yang dipilih.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4cPhwjLdX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Singapura - Khalid antara yang digugurkan

ARKIB : 05/12/2002
Oleh Johari Shawal
DUA tonggak utama Perak, penyerang Muhammad Khalid Jamlus dan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian adalah antara empat pemain yang digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang bakal mengharungi Kejohanan Piala Tiger di Singapura, bulan ini.

Dua lagi pemain, Aziz Ismail dari Pulau Pinang dan Marzuki Yusof dari Terengganu turut digugurkan daripada skuad.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris sebaliknya memanggil tiga muka baru dalam barisan pasukannya iaitu pemain pertahanan, Chan Wing Hoong dan A. Victor serta pemain tengah, K. Nanthakumar, ketiga-tiganya dari Perak.

Harris berkata, Khalid digugurkan daripada skuad kerana penyerang itu kurang berdisiplin semasa berada dalam kem latihan.

``Dia juga cuba mempertikaikan sebab penggugurannya dalam barisan pasukan ini,'' kata Harris semasa mengumumkan barisan pasukan negara ke Piala Tiger dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama pengurus pasukan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan penolong jurulatih, B. Sathianathan.

Menurut Harris, Ahmad Shahrul pula digugurkan kerana pemain itu lebih awal menarik diri daripada skuad sebelum pemilihan pasukan.

``Dia (Ahmad Shahrul) telah menyuarakan hasratnya menarik diri daripada skuad semasa kami mengadakan perlawanan persahabatan di Dubai.

``Dia memberi alasan terlalu penat dari segi mental dan fizikal setelah empat tahun menambur bakti kepada negara dan meminta digugurkan daripada skuad,'' katanya.

Ketika menyarung jersi kebangsaan, Ahmad Shahrul menjadi pemain utama yang diberi kepercayaan oleh Harris untuk memikul tugas selaku ketua pasukan.

Bagaimanapun, barisan ke Piala Tiger di Singapura ini akan diketuai oleh Tengku Hazman Raja Hassan dari Selangor.

Ketiadaan Khalid, penyerang terbanyak Liga Perdana Satu tahun ini, memberi ruang buat Mohd. Nizaruddin Yusof dan Zainizam Marjan untuk menunjukkan ketangkasan masing-masing.

Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Hairuddin Omar merupakan dua lagi penyerang yang mendapat kepercayaan Harris.

Menurut Harris, pemain yang digugurkan bukan bermakna tidak akan dapat beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang.

``Perlawanan pertama adalah penting dan hanya kemenangan dapat menyuntik semangat pasukan,'' katanya.

Piala Tiger berlangsung pada 14 hingga 23 Disember ini. Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama juara bertahan, Thailand, Laos dan tuan rumah, Singapura.

BARISAN PEMAIN

Penjaga gol: Azmin Azram Abdul Aziz, Mohd. Syamsuri Mustafa

Pertahanan: Irwan Fadzli Idrus, Victor Andrag, Subri Sulong, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Muhammad Khaironisam Hussein, Mohd. Nizam Jamil,

Tengah: Chan Wing Hoong, Eddy Helmi Manan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Fadzli Shaari, Muhammad Juzaili Samion, K. Nanthakumar, Tengku Hazman Raja Hassan,

Penyerang: Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof, Zainizam Marjan.

JADUAL PERLAWANAN

18 Disember : Lawan Singapura

20 Disember : Lawan Laos

22 Disember : Lawan Thailand

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cPMziW8R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selamat pulang selepas dibelasah

ARKIB : 04/10/2002
MASAN - Pasukan bola sepak negara sudah boleh mengucapkan selamat tinggal pada Sukan Asia XIV ini apabila mereka tewas dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan A kepada tuan rumah, Korea Selatan, 4-0 di Stadium Utama Masan, di sini, semalam.

Stadium yang dipenuhi penyokong Red Devils itu nyata bukan gelanggang sesuai buat pasukan negara selepas Korea Selatan memberikan asakan bertali arus membuatkan penjaga gol negara, Azmin Azram Aziz terpaksa bekerja keras di hadapan gawang.

Biarpun menerima sedikit tentangan dari barisan kesebelasan utama negara, Korea Selatan nyata mampu menyumbangkan gol pada babak pertama permainan. Penyerang Korea Selatan, Kim Eng Jun menggegar gawang Malaysia pada minit ke-22 menerusi sepakan kencang apabila bola terkena palang dan melantun masuk ke gawang.

Aksi cemerlang Korea Selatan diteruskan hanya 14 minit selepas perlawanan berlangsung apabila Choi Tae berjaya menggelecek pertahanan negara, Norhafiz Zamani untuk menjaringkan gol.

Harapan pasukan negara terus musnah apabila babak kedua berlangsung dengan Eng Jun sekali lagi menyumbat gawang pada minit ke-67 untuk gol ketiga sebelum diaibkan dengan gol keempat Korea Selatan oleh Lee Doon Gook pada saat akhir permainan.

Dalam aksi semalam, Malaysia nyata tidak berupaya melakukan sebarang cubaan untuk menjaringkan gol apabila barisan pertahanan Korea Selatan terlalu kuat untuk dibolosi penyerang negara. - Utusan

SENARAI PEMAIN

Malaysia : Azmin Azram Abdul Aziz, Subri Sulung, Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Eddy Helmi Abd. Manan, Hairuddin Omar, Mohd. Fadzli Saari, Muhamad Khalid Jamlus, Shukor Adan, Muhamad Khaironnisam Hussain, Irwan Fadzli Idrus.

Korea Selatan : Lee Won Jae, Cho Byung Kuk, Hyun Young Min, Kim Young Chul, Kim Du Hyun, Lee Chun Soo, Choi Tae Uk, Lee Young Pyo, Kim Dong Jin, Cho Sung Hwan, Kim Eun Jung.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cL6lPgna
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 6 Mei 2019

Pemain negara kaku dan terpukau dengan gerakan pantas Oman - Malaysia berhak tersingkir

ARKIB : 28/09/2002
PEMAIN Malaysia, Hairuddin Omar (kanan) berusaha melarikan bola daripada pemain Oman, Hassan Al Gheilani sewaktu perlawanan pusingan pertama acara bola sepak Sukan Asia XIV di Masan, Korea Selatan, semalam. Oman menang 1-0.

SKUAD bola sepak negara berhak tewas kepada Oman 1-0 semalam dalam aksi pembukaan acara itu di peringkat Kumpulan A Sukan Asia XIV di Stadium Utama, Masan, selepas menyaksikan mereka kaku di tengah padang dan terpukau dengan gerakan pantas lawan yang dilihat tanpa henti menyerang gawang Malaysia.

Lebih malang lagi, Malaysia bagaikan jatuh ditimpa tangga akibat turut menyaksikan pemainnya, Nur Hafiz Zamani Nisbah diarah keluar padang oleh pengadil dari Jepun, Yoshida Toshimitsu selepas melakukan terjahan keras ke atas Yousuf SMA Ak Busaidi pada minit ke-24.

Turut dilayangkan kad merah pada pertemuan itu ialah pemain Oman, Fawazi BRB Doorbeen yang menjatuhkan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17 yang menerima kad kuning kali kedua.

Kali pertama kad dilayangkan kepadanya ialah pada minit keenam selepas mengkasari ketua pasukan negara, Ahmad Shahrul Azhar Suffian

Kad kuning juga diberikan kepada selepas dia menjatuhkan Hairuddin Omar pada minit ketujuh.

Sementara itu gol Oman diperoleh pada minit ke-63 apabila penyerang Hani Ads Baid Alnoobi berjaya meloloskan diri dari pertahanan negara untuk melakukan hantaran lintang yang disambut kemas rakan sepasukan, Taqi MM Al Siyabi untuk menyepak masuk bola ke dalam gawang.

Bagaimanapun perlawanan di babak pertama ini menyaksikan penguasaan pasukan Oman di kawasan gawang Malaysia dan memaksa penjaga gol negara, Azmin Azram Abdul Aziz bekerja keras untuk menyekat beberapa cubaan bahaya yang dilakukan oleh Hani dan Yousuf.

Peluang terbaik Malaysia diperoleh pada minit ke-43 apabila bola hantaran lintang, Indra Putra tidak didakap kemas penjaga gol Oman, dan melantun ke arah Khalid Jamlus yang berada pada posisi terbaik untuk menyumbat gawang selepas ia terbuka tanpa kawalan Said, malangnya peluang itu disia-siakan selepas ia tersasar di sebelah kanan gawang untuk menyaksikan tiada penyudah berkesan dari skuad kebangsaan di babak pertama ini.

Sebaik babak kedua permainan berlangsung, Malaysia masih gagal mendapatkan rentak permainan dengan terus memberi peluang kepada pemain Oman melakukan serangan.

Pada minit ke-49, kawasan gawang Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan cubaan Hani yang memperoleh bola leret di hadapan gawang tetapi gagal menguis bola yang ketika itu tidak langsung dikawal oleh Azmin.

Oman terus menggasak pertahanan Malaysia dan tidak memberi ruang kepada pasukan negara mengatur serangan kecuali pada minit ke-82 apabila mendapat sepakan sudut dan pada minit ke-84 kepada mendapat sepakan percuma, namun kedua-duanya tidak menghasilkan sebarang gol buat kem negara.

Perlawanan semalam, turut disaksikan oleh ketua kontinjen, Datuk Khalid Yunus serta beberapa pegawai sekretariat Malaysia di Busan dan penyokong tempatan yang mengibarkan bendera Malaysia di Stadium Utama Busan ini.

Malaysia akan meneruskan kempen acara bola sepak menentang Maldives, Isnin ini di Stadium Geudeok, Busan sementara Oman bertemu Korea Selatan di Stadium Yangsan pada hari yang sama.

MALAYSIA:

Azmin Azram Abdul Aziz, Subri Sulung, Nur Hafiz Zamani Nisbah, Ahmad Shahrul Azhar Suffian, Eddie Helmi Abdul Manan (Zainizam Marjan), Hairuddin Omar, Mohd. Khalid Jamlus (Mohd. Fadzli Shaari), Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Juzali Sameon (Mohd. Shukor Adan), Mohd. Khairunnisam, Irwan Fadzli Idrus.

OMAN:

Said Al Shoon Saliman, Hussain Mustahil Rabiah, Yousuf SMA Ak Busaidi, Fawazi BRB Doorbeen, Taqi MM Al Siyabi (Hashim Salleh Mohamed), Ali A. Harid Al Habsi, Hani Ads Baid Alnoobi, Nasser ZK Al Muskaini, Hassan YM Al Gheilaini (Abdullah ASS Al Saadi), Nabil AB Faraj Allah, Ahmed Ahned HT Al Mukhaini. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cL1meH80© Utusan Melayu (M) Bhd

Saingan terbuka -- Pemilihan ke Sukan Asia XIV


ARKIB : 01/09/2002
 
KHALID JAMLUS keluar dari Wisma FAM menuju pulang ke kampungnya di Ipoh, selepas sesi ujian kecergasan kendalian Allan Harris, semalam. Semua pemain diberi cuti sehari sebelum menyambung semula latihan, hari ini. - Gambar AZHAR MOGO.

Oleh Johari Shawal
PERTARUNGAN sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan bola sepak kebangsaan bakal disaksikan dalam tempoh sebulan latihan sebelum senarai akhir skuad negara untuk Sukan Asia Busan diumumkan.

Jurulatih kebangsaan, Allan Harris berkata, semua 28 pemain yang dipanggil menjalani latihan menunjukkan komitmen tinggi dan menampakkan semangat untuk dipilih dalam skuad kebangsaan.

``Semua pemain nampak cergas dan menunjukkan minat yang tinggi. Mereka nampak bersedia untuk membarisi pasukan kebangsaan ke Busan.

``Mungkin kita dapat lihat persaingan sengit antara pemain untuk merebut tempat dalam pasukan,'' kata Harris selepas mengendali sesi ujian kecergasan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kecuali penyerang Perak, Khalid Jamlus yang cedera, pemain lain berjaya melepasi had yang ditetapkan semasa ujian kecergasan semalam.

Khalid hanya menjalani latihan ringan dan masih mendapatkan rawatan di FAM. Sementara tempat pemain Terengganu, Marzuki Yusof yang cedera serius di buku lali dan terpaksa diketepikan, diisi oleh pemain Pahang, Fadzli Shaari.

Harris perlu memilih 20 daripada 28 pemain untuk membawa cabaran negara di Busan, Korea Selatan.

Selain perebutan tempat antara pemain, lima pemain senior yang dipanggil juga perlu bekerja keras untuk dipilih.

Harris memiliki lima pemain senior dalam barisan pelatihnya iaitu ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, penjaga gol Selangor, Azmin Azram Aziz, bek kiri Terengganu, Rosdi Talib, pemain tengah Selangor, Tengku Hazman Raja Hassan dan Khalid.

Tempat Ahmad Shahrul dan Azmin kemungkinan terjamin tetapi nasib Rosdi, Tengku Hazman dan Khalid tidak menentu memandangkan pemain bawah 23 turut menunjukkan aksi memberangsangkan.

Nasib Khalid, penjaring terbanyak Perdana Satu dan penyerang terbaik negara ketika ini, masih samar selepas cedera ketika latihan di Jerman.

Dia dikatakan memerlukan rehat sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih dan keadaan itu mungkin memaksa Khalid melupakan hasrat ke Busan.

Acara bola sepak Sukan Asia dihadkan kepada pemain bawah 23 tahun tetapi membuka penyertaan kepada tiga pemain senior.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cGSmDjlN© Utusan Melayu (M) Bhd

Gol emas Nazri ranapkan Malaysia

ARKIB : 17/07/2002
Ketua pasukan Malaysia, Ahmad Shahrul Azhar (kanan) cuba dibentes oleh pemain Singapura, Rudy Khairon Deaiman dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium Darul makmur, Kuantan, semalam. Malaysia tewas 2-1.

JARINGAN emas masa tambahan oleh ketua pasukan, Nazri Nasir membantu Singapura untuk menghampakan Malaysia 2-1 pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Pasukan pelawat ternyata bertindak seperti cencaru makan petang untuk menafikan tuan rumah yang berada di hadapan dalam tempoh 88 minit setelah mendahului menerusi pemenang Kasut Emas Perdana Satu, Khalid Jamlus minit ke-34.

Sayang sekali gol Zulkarnaen Zainal menyekat kegembiraan Malaysia apabila menghukum kelekaan barisan pemain skuad negara yang seperti cuma menantikan wisel terakhir permainan.

Malaysia langsung menyerah ketika permainan berlanjutan ke masa tambahan setelah terikat 1-1 angkara libas pari oleh Nazri yang merembat masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-95.

Malah kejutan awal Singapura juga sudah tiba ketika beberapa saat babak pertama menerusi penyerang kelahiran Croatianya, Mirko Grabovac yang merembat tepat namun tolakan keluar Azmin Azram Abdul Aziz menghalangnya.

Minit kelima menyaksikan tuan rumah bangkit menyerang. Hasil umpanan Zainizam Marjan dari tengah, Indra Putra Mahyuddin melepaskan rembatan kaki kiri yang bagaimanapun tersasar beberapa inci dari gol Singapura.

Dua sepakan percuma benteng Terengganu, Rosdi Talib pada minit ke-10 dan 23 juga belum mampu menghasilkan sesuatu untuk negara.

Segala kehampaan kira-kira 30,000 penonton di Stadium Darul Makmur akhirnya ditebus Khalid, yang baru ditawarkan kontrak bermain di Jerman, dua minit kemudian.

Usaha sama Liew Kit Kong dan Zainizam bagaimanapun terlebih dulu merencana jaringan Malaysia itu lantas Khalid sesudah memperdayakan dua benteng lawan, berjaya merembat masuk menerusi kaki kirinya.

Peluang tidak pula serik-serik menyapa Singapura dan Azmin terus memaksa mereka berputih mata. Menerusi tandukan penyerang kelahiran Brazil, Egmar Concavles, pasukan pelawat sekadar melihat cubaan itu disisihkan.

Malang sekali ketika Malaysia semakin mendekati kemenangan, Singapura menghukum mereka. Azmin akhirnya tertewas dengan tolakan kaki kanan oleh pemain gantian pelawat, Zulkarnaen Zainal ketika permainan berbaki hanya tiga minit. Singapura akhirnya me-maksa skuad negara kempunan pada minit ke-95 menerusi jaringan Nazri.

MALAYSIA: Azmin Azram Abdul Aziz, Norhafiz Zamani Misbah, Subri Sulong, Ahmad Shahrul Azhar Soffian (Juzali Samion), Liew Kit Kong (Eddy Helmi Manan), Rosdi Talib (K. Rajan), Indra Putra Mahyuddin, Tengku Hazman Raja Hassan (Shukor Adan), Mohd. Khaironnizam Sahabuddin (Nidzam Jamil), Khalid Jamlus (Hasmawi Hassan), Zainizam Marjan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cEU3DC00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Samba Brazil menjadi


ARKIB : 26/05/2002
PENYERANG Brazil, Ronaldo melompat selepas menerima asakan dari pemain Malaysia, Shahril Faizal pada pertemuan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang persiapan pasukan Amerika Latin itu menghadapi Piala Dunia FIFA, hujung bulan ini. Brazil menang 4-0.

Oleh JOHARI SHAWAL dan A. JAILANI ABDULLAH
AGAK bercelaru pada babak pertama tetapi rupanya Brazil memilih separuh masa kedua untuk memulakan aksi bertaraf dunia ketika mengatasi pasukan negara 4-0 dengan bintang utamanya, Ronaldo menjaringkan gol pertama pada perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Di hadapan kira-kira 65,000 penonton, Brazil gagal menemui sentuhan jaringan sepanjang babak pertama permainan biarpun buat pertama kali, Luiz Felipe Scolari menurunkan gandingan tiga penyerang utamanya, Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo.

Namun, setiap aksi serangan Brazil nyata begitu berbahaya. Ronaldo, Ronaldinho dan Rivaldo jelas berusaha keras mencari gol untuk pasukannya.

Tetapi pujian tinggi harus diberikan kepada barisan negara pada sepanjang babak pertama terutama penjaga gol, Azmin Azram Aziz yang begitu tangkas menafikan percubaan Ronaldo dan Rivaldo, biarpun akhirnya gagal menghalang Brazil daripada membolosi gawangnya.

Jaring Malaysia seharusnya bergegar sekurang-kurangnya enam kali pada babak pertama termasuk tiga percubaan tepat Ronaldo tetapi ketangkasan Azmin harus memikat kesebelasan skuad samba.

Begitupun, barisan pertahanan negara tidak langsung diberi rehat oleh rangkaian serangan Brazil dengan asakan-asakan berbahaya mereka.

Bermula daripada kesilapan Khalid Jamlus yang hampir menanduk ke gawang sendiri pada minit ketiga menerusi satu sepakan sudut, Brazil memulakan aksi berbahayanya.

Bintang AS Roma, Emerson hampir menanduk masuk sepakan sudut Ronaldinho dan tujuh minit kemudian, giliran Ronaldinho menguji Azmin menerusi sepakan percuma yang ditepis keluar penjaga gol negara.

Seminit kemudian, Lucio yang beraksi dengan Bayer Leverkusen di Jerman, melonjak tinggi menanduk bola sepakan sudut tetapi bola singgah ke kaki Subri Sulong yang menendang keluar.

Ronaldo yang pada mulanya agak kurang mendapat bola, mula menunjukkan bisa pada minit ke-20. Bintang Inter Milan itu melepaskan tendangan kencang dari luar kotak penalti tetapi Azmin berada pada posisi yang betul untuk menguis keluar bola.

Pintu gol Malaysia sentiasa terancam setiap kali Brazil mendapat sepakan sudut dan Lucio berpeluang untuk membuka jaringan seminit kemudian tetapi sekali lagi Azmin bertindak cemerlang menepis keluar.

Sebelum waktu rehat, Ronaldo memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-27 dan 31. Sepakan kencangnya dari luar kotak penalti terkena Norhafiz Zamani Misbah manakala percubaan keduanya ditepis keluar oleh Azmin.

Selepas menghadapi masalah menembusi benteng padat Malaysia pada babak kedua, Brazil mula pesta golnya pada babak kedua ketika permainan berusia 52 minit.

Sentuhan Ronaldo jelas masih berbisa apabila mudah membuka jaringan untuk skuad Samba, permulaan kepada pesta jaringan Brazil di Bukit Jalil.

Juninho yang dibawa masuk menggantikan Rivaldo, menambah gol kedua Brazil pada minit ke-64, juga menerusi gerakan mudah dengan meleretkan bola melepasi Azmin.

Bintang Real Betis, Denilson yang masih mengekalkan aksi samba, terus menggegar gawang negara dengan gol ketiga minit ke-72 hasil gerakan solonya dari tengah padang sebelum mengatasi Azmin dengan melorongkan bola ke penjuru kanan pintu gol Malaysia.

Edilson turut melakar nama sebagai penjaring Brazil enam minit kemudian menerusi sepakan padu untuk gol keempat skuad juara dunia empat kali itu.

Apapun, Brazil nampaknya sudah amat bersedia untuk mengharungi kempen Piala Dunia 2002 dan kesebelasan utamanya, walaupun sedikit goyah, harus mampu memikat Scolari untuk aksi pertama menentang Turki dalam perlawanan sulung Piala Dunia, 3 Jun ini.

Dan bagi pasukan negara, tentunya pengalaman berharga itu dapat digunakan sepenuhnya semasa menghadapi Sukan Asia di Busan, September ini.

MALAYSIA: Azmin Azram Aziz (Syamsuri Mustafa), Norhafiz Zamani Misbah (Nizam Jamil), Rosdi Talib, Subri Sulong (Shahril Faizal), Liew Kit Kong, Indraputra Mahayuddin (K. Rajan), Muhamad Kaironnisam, Tengku Hazman Raja Hassan (Shukor Adan), Ahmad Shahrul Azhar (Mazuki Yusof), Akmal Rizal Rakhli (Hasmawi Hassan), Khalid Jamlus (Zainizam Marjan).

BRAZIL: Marcos (Dida), Anderson, Lucio (Vampeta), Edmilson, Roque Junior, Roberto Carlos (Junior), Emerson (Gilberto Silva), Kleberson (Juninho Paulista), Rivaldo (Kaka), Ronaldinho (Edilson), Ronaldo (Luizao).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCiAg0ym
© Utusan Melayu (M) Bhd

Pertemuan bersejarah di Kuala Lumpur - Misi menyekat temasya gol


ARKIB : 25/05/2002
BARISAN skuad negara diketuai penolong jurulatih, Norizan Bakar (kanan) berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang pertemuan persahabatan dengan Brazil, malam ini. - Gambar MOHD. ZAKI AMIRUDDIN.

Oleh JOHARI SHAWAL
AKSI persahabatan bersejarah bakal disaksikan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini apabila skuad bola sepak Malaysia bertemu barisan Piala Dunia Brazil, pertemuan dua pasukan yang dianggap `langit dengan bumi'.

Bersejarah buat Malaysia kerana inilah kali pertama Brazil yang terkenal dengan aksi samba, hadir ke negara ini untuk berlatih dan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir sebelum ke Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun.

Brazil kini di ranking ketiga dunia di belakang Perancis dan Argentina, manakala Malaysia tidak berada antara 100 pasukan terbaik FIFA.

Menariknya malam ini, pengurusan Brazil sudah melaungkan, sebelas pemain pertama yang diturunkan malam ini adalah barisan utama yang akan membawa cabaran Brazil untuk aksi pertama kumpulan C menentang Turki, 3 Jun ini.

Jika itu percaturan jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari, Malaysia bakal berdepan situasi paling sukar untuk menghalang Brazil daripada berpesta gol.

Dengan adanya Ronaldo dan Rivaldo, skuad Malaysia bimbingan Allan Harris perlu ada ramuan paling baik untuk cuba menyekat pergerakan dua bekas Pemain Terbaik Dunia itu.

Ditambah dengan keperkasaan Roberto Carlos, Ronaldinho, Cafu, Emerson, Kleberson, Lucio, Edmilson dan Roque Junior, Malaysia sebenarnya berdepan dengan sebuah pasukan yang mungkin akan menjulang Piala Dunia 2002.

Kesudian Brazil ke Malaysia dan mengadakan persahabatan dengan pasukan kebangsaan adalah satu penghormatan tertinggi.

Ia juga kesempatan paling berharga buat pemain kebangsaan menimba ilmu daripada bintang-bintang dunia selain peluang sekali seumur hidup peminat tempatan menyaksikan Brazil dengan para bintangnya beraksi di hadapan mata secara langsung.

Mungkin keputusan yang dicatat malam ini tidak begitu penting buat Malaysia kerana sedar mereka menentang pasukan gergasi dunia.

Tetapi bagi Harris, inilah masanya pemain mencuri ilmu berharga daripada aksi persahabatan itu yang sekurang-kurangnya boleh digunakan ketika Sukan Asia dan Piala Tiger.

Persoalannya, apakah mampu Azmin Azram Aziz menghalang penendang berbisa bintang Inter Milan, Ronaldo, Rivaldo (Barcelona) dan Ronaldinho (Paris St. Germain).

Mampukah Subri Sulong dan Rosdi Talib mengekang pergerakan lincah pemain Real Madrid, Roberto Carlos di sayap kiri dan Cafu dari AS Roma di sayap kanan.

Dapatkah Ahmad Shahrul Azhar mencuri penguasaan bintang AS Roma, Emerson di bahagian tengah.

Semuanya bakal disaksikan malam ini apabila barisan bintang dunia itu mempersembahkan skil, teknik, taktik dan kebijakan di hadapan jangkaan lebih 80,000 penonton di stadium.

Perlawanan Brazil-Malaysia adalah persahabatan terakhir buat skuad juara Piala Dunia empat kali itu sebelum berlepas ke Korea Selatan esok untuk mengharungi kempen ke-17.

Pada Piala Dunia 2002 bermula 31 Mei ini, Brazil diletakkan dalam Kumpulan C bersama Turki, China dan Costa Rica

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cCaroY75
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 5 Mei 2019

BARISAN PEMAIN SUKAN ASIA/PIALA TIGER 2002


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Mohd. Nizam Jamil, Mohd. Shukor Adan, Tengku Hazman Raja Hassan (Selangor), Hairuddin Omar, Mohd. Syamsuri Mustaffa, Mohd. Mazuki Yusof, Rosdi Talib, Subri Sulong (Terengganu), Mohd. Juzaili Samion, Shahril Faizal Ahmad Sharifuddin, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin (Pahang), Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Hamsani Ahmad, Mohd. Khalid Jamlus, Rushanizam Mohd. Idrus (Perak), Hasmawi Hassan, Abdul Aziz Ismail (Pulau Pinang), Mohamad Syaiful Sabtu, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan (Negeri Sembilan), Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Irwan Fadzli Idrus, Liew Kit Kong (Kedah), Mohd. Anis Faron Ahmad Arsidi (Perak TKN)[i]


[i]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4bxS8Va1l© Utusan Melayu (M) Bhd